KEPUTUSAN seri yang dicatatkan Sarawak United FC ketika berdepan PJ City FC sebelum ini memastikan skuad Ngap Sayot mengumpul satu mata selepas dua kekalahan berturut-turut.
Meskipun kedudukan mereka yang berada di tangga kedua daripada bawah tidak berubah, kemampuan benteng pertahanan untuk menyekat percubaan yang diketuai penyerang tempatan Darren Lok pasti memberikan sedikit kelegaan.
Selain itu, skuad Ngap Sayot juga menunjukkan kemampuan barisan pertahanan apabila mereka hanya dibolosi sekali dalam dua kekalahan di tangan Terengganu FC dan Sabah FC.
Melihat kepada kedudukan dan prestasi kedua-dua pasukan itu sebelum ini, skuad Sarawak United seperti sudah menunjukkan peningkatan setelah berkali-kali mencatatkan keputusan yang mengecewakan musim ini.
Oleh itu, mereka pasti bersemangat untuk menampilkan persembahan yang terbaik dalam baki-baki perlawanan ini untuk memberikan sedikit kegembiraan kepada para penyokong yang tidak henti-henti menunjukkan sokongan kepada mereka.
Mereka selepas ini bakal mengunjungi Stadium Tuanku Abdul Rahman bagi berdepan cabaran pasukan yang berada di tempat ketiga dalam usaha melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia.
Skuad Ngap Sayot terpaksa akur dengan kekalahan ketika berdepan Negeri Sembilan FC sebelum ini. — Facebook/Negeri Sembilan Football Club
Segala persiapan pasti dilakukan dengan lebih awal apabila pasukan Ngap Sayot bakal berdepan cabaran getir daripada Negeri Sembilan FC yang sedang berusaha mengejar slot ke Liga Juara-juara AFC musim depan.
Namun, bagi ketua jurulatih, S. Balachandran, pendekatan untuk perlawanan itu masih belum diputuskan apabila mereka masih mempunyai tempoh yang lama sebelum perlawanan itu.
"Saya rasa kita masih awal untuk menentukan taktikal dan pendekatan untuk berdepan Negeri Sembilan sebab perlawanan itu adalah minggu depan, tidak silap saya," katanya kepada Majoriti.
Perkara ini disebabkan mereka perlu menilai kemampuan dan kelebihan skuad Jang ketika pertembungan itu bagi membolehkan sekurang-kurangnya satu mata berjaya dibawa pulang Sarawak United FC.
Mengulas lanjut, pengendali itu enggan mengulas mengenai isu pemain import berdarah Kemboja, Boris Kok yang masih belum pulang setelah beberapa bulan berada di Perancis.
"Perkara itu, saya rasa lebih baik sekiranya pihak pengurusan yang membuat ulasan, saya hanya mampu menentukan apa yang terjadi atas padang," katanya.
Pemain tengah itu sudah tidak beraksi lebih dari tiga bulan setelah dia direhatkan berikutan cuti yang diterima bagi menemani isterinya yang bersalin di negara itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram