KEPUTUSAN untuk membawa pulang pemain tengah Sarawak United FC (SUFC), Boris Kok yang kini berada di Perancis sejak Julai lepas atas urusan menyambut kelahiran anaknya, adalah terpulang kepada pihak pengurusan.
Pemain tersebut diberi cuti dua minggu untuk pulang ke Perancis, namun 'terkandas' di negara itu sehingga kini kerana kemelut kewangan yang dihadapi SUFC.
Kelab itu dipercayai tidak mampu mengeluarkan belanja bagi membiayai tiket penerbangan pulang Boris hingga dia terlepas beberapa perlawanan penting.
"Sejak perlawanan dengan Kedah, mereka berjanji untuk membayar tiket penerbangan pulang bagi menyertai perlawanan dengan JDT, Penang FC, Terengganu FC dan PJ City.
"Malangnya, mereka tidak berbuat apa-apa dan memberitahu yang saya boleh terus berada di Perancis sehingga masalah saya boleh diselesaikan," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Pengendali SUFC, S. Balachandran berkata, dia mengambil maklum bahawa pengurusan SUFC akan melunaskan bayaran tunggakan gaji yang dihadapi oleh pegawai, barisan kejurulatihan dan barisan pemain pasukan itu termasuk Boris dalam tempoh terdekat.
Bagaimanapun katanya, dia tidak boleh membuat ulasan lanjut kerana perkara itu antara Boris dan pengurusan SUFC.
"Apa-apa keputusan itu antara Boris dan pengurusan SUFC. Terpulang kepada pengurusan untuk membuat keputusan," katanya ringkas kepada Majoriti.
Poster yang dimuat naik Boris Kok selepas isu gaji pemain SUFC tidak dibayar didedahkan. — Facebook
Boris terdahulu mendedahkan berlaku tunggakan gaji dalam SUFC sejak tiga bulan lalu. Pemain berusia 31 tahun yang dipinjamkan oleh kelab Phnom Penh Crown itu memaklumkan bahawa dia boleh membatalkan kontrak dengan undang-undang FIFA dan pulang semula ke Kemboja kerana dipinjamkan.
Sementara itu, pengurus SUFC, Muliadi Awang Matsri berkata, isu tersebut sudah diperjelaskan oleh Presiden SUFC, Datuk Posa Majais.
Memetik TVS, Posa berkata, pembayaran tunggakan gaji akan dilaksanakan menerusi dana pihak tertentu bagi menyelesaikan kemelut yang sudah lebih tiga bulan membelenggu pasukan.
Pada masa sama, beliau memberitahu meskipun berlaku tunggakan gaji, pengurusan tetap memberi bayaran pendahuluan kepada pemain yang bergaji di bawah RM13,000.
“Kita beri advance sebanyak RM2,000 hingga RM4,000 kepada pemain yang bergaji RM10,000 hingga RM12,000 di samping bonus sekiranya pasukan meraih kemenangan,” ujarnya.
Berhubung tunggakan bayaran kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), beliau berkata, pasukan masih ‘berhutang’ melibatkan jumlah hampir RM2 juta.
“Untuk KWSP lebih RM1 juta dan LHDN pula hampir RM1 juta, itu belum termasuk gaji lagi,” tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram