SIKAP acuh tidak acuh pengurusan Sarawak United FC (SUFC) dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji selama empat bulan menimbulkan perasaan amarah para penyokong tegar kelab itu.
Apatah lagi insiden berkenaan bukan kali pertama berlaku dalam sejarah skuad Ngap Sayot.
Sebelum ini, SUFC pernah disekat daripada membuat sebarang perpindahan pemain tempatan dan import.
Sekatan tersebut dikenakan sendiri oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) setelah kegagalan SUFC menyelesaikan tunggakan gaji dan pampasan bekas pemain import mereka, Sandro da Silva berjumlah lebih RM150,000 pada musim lalu.
Ibarat tidak pernah serik didenda, 'penyakit' culas tidak membayar gaji itu dilihat sudah menjadi penyakit bermusim bagi kelab tersebut sehinggakan ada di antara pemain menjadi seperti 'pengemis' menagih gaji mereka.
Poster yang dimuat naik Boris Kok selepas isu gaji pemain SUFC tidak dibayar gaji, didedahkan. — Facebook/ BorisKok
Baru-baru ini pemain import SUFC , Boris Kok membuka mulut berkenaan isu tunggakan gaji yang berlarutan hampir empat bulan membabitkan beberapa pemain kelab itu.
Majoriti sebelum ini melaporkan Boris sudah tiga bulan tidak dibayar gaji dan menyatakan hasrat untuk membatalkan kontrak dengan undang-undang FIFA dan pulang semula ke Kemboja kerana dia dipinjamkan.
Hasil permerhatian Majoriti, rata-rata penyokong di laman media sosial meminta Presiden Sarawak United, Datuk Posa Majais meletakkan jawatan kerana tidak dapat menggalas tanggungjawab bagi memastikan kebajikan barisan kejurulatihan dan pemain SUFC.
Majoriti peminat bola sepak Sarawak meminta Posa meletakkan jawatan dengan cara terhormat. — Astro Awani
Kelab penyokong bola sepak Sarawak, Kamek Kaki Bola meminta Posa meletakkan jawatan dengan cara terhormat dan berhenti memberikan alasan sama setiap tahun.
Menurutnya lagi, majoriti peminat bola sepak Sarawak mahukan Pengurusan Kuching City FC menerajui pasukan dari Bumi Kenyalang sekiranya hanya ada satu pasukan mewakili negeri tersebut.
"Pengurusan Sarawak FA dan SUFC kerap mempunyai masalah gaji walaupun diberi tanggungjawab selama empat musim.
"Diberi tanggungjawab selama empat musim, setiap tahun masalah yang sama.
"Datuk Posa, jika anda betul-betul cintakan bola sepak Sarawak, sila letak jawatan dengan cara terhormat.
"Jangan diberikan alasan siapa yang sanggup ambil alih jawatan.
Siapa yang sanggup rugi selama empat tahun atau Datuk ada agenda yang tersendiri? Fikir-fikirkanlah," katanya.
Hantaran Facebook itu turut dipersetujui oleh penyokong bola sepak SUFC.
Menurut Alang Lang Alang Lang, kehadiran Datuk Posa merosakkan bola sepak Sarawak.
"Tolong letak jawatan dan baik pergi jauh-jauh dari industri dari bola sepak," katanya.
Adam Daphill turut meminta Datuk Posa untuk meletak jawatan.
"Datuk Posa 'out'.
"Bola sepak Sarawak jauh ketinggalan berbanding negeri lain. Tukar orang dalam pengurusan.
"Insya-ALLAH bola sepak Sarawak maju dan berjaya seperti dulu," tulisnya.
Sebelum ini, Posa telah mengeluarkan satu kenyataan media menerusi Astro Arena mengesahkan pasukannya berdepan tunggakan gaji untuk tempoh hampir empat bulan.
Menurut Posa, semua tunggakan gaji akan diselesaikan dalam tempoh selewat-lewatnya dua minggu lagi. Tunggakan gaji dengan jumlah anggaran RM2 juta itu melibatkan barisan pemain dan juga barisan kejurulatihan SUFC.
"Kami telah mendapatkan kelulusan daripada pihak berkenaan dan bakal menyelesaikan tunggakan gaji itu dalam tempoh dua minggu ini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram