'Fans' MUFC lancar perang psikologi, bersolidariti turun game lawan Sang Kenari


  • Podium
  • Jumaat, 09 Sep 2022

Para penyokong MUFC mahu bersolidariti bersama pemain skuad Sang Kancil yang dilaporkan sudah tiga bulan tidak menerima gaji. — Facebook

KEMELUT kewangan yang dihadapi Melaka United FC (MUFC) seakan menjadi duri dalam daging terhadap musim yang cukup menghampakan buat penyokong Hang Tuah.

Ibarat pepatah, cubit paha kanan, paha kiri terasa sakit juga, para penyokong MUFC melancarkan gerakan baju putih untuk bersama-sama bersolidariti bersama pemain yang dilaporkan sudah tiga bulan tidak menerima gaji.

Di laman Facebook penyokong MUFC, ahli Ultras Taming Sari berkongsi poster baju putih bagi mengajak penyokong lain turun stadium dengan memakai baju putih ketika aksi menentang Kedah Darul Aman (KDA FC) pada Jumaat.

Skuad Sang Kancil akan melayani kunjungan Sang Kenari pada aksi saingan Liga Super itu di Stadium Hang Jebat. Ia merupakan perlawanan penting untuk MUFC kembali mengumpul mata penting selepas mengalami dua kekalahan teruk dengan Johor Darul Takzim dan Terengganu FC.

301813603_2255497034626360_8494013285612847547_n

Poster Ultras Taming Sari yang mengajak penyokong MUFC turun Stadium Hang Jebat dengan berbaju putih ketika aksi menentang KDA FC pada Jumaat. — Facebook

"Semua orang Melaka pakai baju putih ini malam," kata Wandy Wan.

"Salam. Esok (Jumaat) pakai putih," ujar Mohd Hafiz.

Sebelum ini, kumpulan penyokong Penang FC, Penang Brotherhood turut melancarkan gerakan White Day bagi menyeru penyokong pasukan itu untuk turun padang dengan memakai baju putih sebagai tanda protes.

Berbeza dengan nasib MUFC, Penang FC terpalit isu prestasi hambar yang menyaksikan pasukan itu hanya tujuh mata menerusi 17 perlawanan dalam carta Liga Super Malaysia 2022.

Malah pertukaran jurulatih juga tidak dapat memulihkan prestasi Penang FC yang kini dikenalikan oleh Zainal Abidin Hassan selepas Tomas Trucha dipecat pada pertengahan musim.

MUFC berdepan tunggakan gaji membabitkan 17 pemainnya yang dilaporkan sudah mencecah tiga bulan.

Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mengesahkan menerima tunggakan yang dihadapi adalah bagi bulan Jun dan Julai serta baki bayaran bagi Januari 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram