DUA aksi Kedah Darul Aman (KDA FC) menentang Melaka United (MU) dan Selangor FC pada September akan menjadi penentu kemampuan sebenar Sang Kenari musim ini.
Persoalan mengenai kemampuan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak diutarakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Kedah, Asmirul Anuar Aris ketika dia bertemu bekas pemain Kedah, Akmal Rizal Rakhli.
"Akmal Rizal, soalan cepu emas saya kepada anda. Mampukah KDA FC pada ketika ini mengembalikan mutu permainan bola sepak negeri pada 'kemampuan sebenarnya' seperti yang heboh di perkatakan?
"Saya biarkan jawapan ini terjawab sepenuhnya pada tarikh 9 dan 14 September depan. Rasanya anda sudah boleh menduga segala jawapan yang terdapat di atas," katanya menerusi akaun Facebook miliknya.
Asmirul Anuar (kanan) ketika bertemu dengan pemain lagenda Kedah, Akmal Rizal. — Facebook
Jelasnya, kali terakhir KDA FC bermain pada 2 September lalu di mana Sang Kenari hanya menang tipis dengan jaringan 1-0 ke atas Pulau Pinang.
Asmirul Anuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubang Rotan berkata, rata-rata penyokong menganggap perlawanan itu setanding dan ada juga yang menyifatkan Penang FC bukan saingan KDA FC.
"Bagaimanapun, kita nantikan perlawanan menentang MU di tempat lawan dan perlawanan yang dinanti-nantikan iaitu menentang Selangor FC di laman sendiri.
"Semoga dua perlawanan itu akan menatijahkan sesuatu yang bermakna kepada kita, para penyokong Sang Kenari," katanya.
Kesebelasan utama KDA FC yang akan turun menentang MU dan Selangor. — Facebook/KDA FC
Sementara itu, Asmirul Anuar berkata, dia bertemu dengan Akmal Rizal sewaku berlangsungnya perlawanan akhir pertandingan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Daerah Kota Setar (MSSD), Kedah.
Ujarnya, menerusi pertandingan itu, terlihat kelibat anak Akmal Rizal yang bermain sebagai penyerang dengan memakai jersi nombor 14 untuk Sekolah Menengah Mergong, Kedah.
"Jersi nombor 14 bukanlah asing buat beliau. Anak kelahiran Jitra, Kedah ini mula mencipta nama sewaktu mewakili pasukan bola sepak bawah 14 tahun Malaysia.
"Beliau juga pernah mewakili pasukan Piala Malaysia Kedah sebelum berhijrah ke Selangor. Pernah mencipta nama di peringkat antarabangsa selaku penyerang utama kebangsaan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram