Al Hafiz Harun legasi, jelmaan Baddrol Bakhtiar?


  • Podium
  • Selasa, 06 Sep 2022

Meskipun Al Hafiz bukan mesin pencetak gol, sumbangannya kepada Kedah musim ini jelas tidak boleh dipersoalkan. — Facebook/KDA FC

SELAIN sering menunjukkan ancaman dan keupayaan yang memukau, persembahan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sering ditunggu-tunggu apabila mereka tidak pernah jemu menonjolkan aksi yang terbaik atas padang.

Pasukan yang pernah menjuarai Piala FA dan Piala Malaysia sebanyak lima kali dalam sejarah sememangnya mempunyai gaya tersendiri dengan pemain yang berkaliber.

Antaranya, bekas kapten Sang Kenari, Baddrol Bakhtiar yang tidak pernah mengecewakan penonton yang membanjiri Stadium Darul Aman untuk menyaksikan aksinya yang tersendiri.

Sekiranya tidak menghasilkan hantaran yang kemas, Baddrol pasti akan membaca gerakan rakan sepasukan atau percaturan yang dilakukan pihak lawan bagi mengecewakan mereka.

Meskipun namanya jarang dijulang sebagai hero, namun bagi penyokong Hijau Kuning, kehadirannya sememangnya penting yang boleh diibaratkan sebagai tulang belakang untuk mencapai segala kecemerlangan.

Namun, selepas lebih 10 tahun berkhidmat, Baddrol akhirnya meninggalkan kelab itu bagi menyertai Sabah FC untuk mencari pengalaman dan 'angin baharu'.

Keputusan ini sedikit sebanyak mengundang amarah daripada penyokong setia apabila kehadirannya dirindui dalam satu kempen yang sukar buat pasukan kendalian Aidil Shahrin Sahak itu.

ALOR SETAR,2 April -- Pemain Kedah Darul Aman FC, Baddrol Bakhtiar ketika meraikan jaringan keduanya semasa menentang pasukan Pahang FC, pada Perlawanan Liga Super 2021 di Stadium Darul Aman, Alor Setar hari ini.Kedudukan semasa Kedah 3-1 Sri Pahang.-- fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kehilangan Baddrol jelas memberi kesan kepada skuad Sang Kenari.

Di samping kualitinya sebagai seorang pemain, kemampuannya untuk mengetuai sebuah pasukan di atas padang jelas dirindui setelah pasukan ini seakan kehilangan indentiti sebagai sebuah pasukan yang berkaliber.

Tetapi, penyokong seakan melihat jelmaan dan kredibiliti Baddrol dalam pemain baharu mereka, Al Hafiz Harun yang mempunyai kebolehan dan keazaman yang menarik perhatian.

Selepas menyertai pasukan itu dari Penang FC, pemain yang berusia 28 tahun ini menunjukkan kemampuannya untuk bangkit selepas permulaan musim yang sukar untuk pemain ini.

Meskipun bermain dalam posisi yang berbeza daripada Baddrol, identiti yang dimiliki pemain kelahiran Sik ini mula menarik perhatian menerusi kebolehannya untuk menyinar dalam pasukan yang sedikit malap.

Dalam satu hantaran di Facebook, seorang penyokong KDA FC, Pena Bola Kedah melihat Al Hafiz mempunyai keupayaan untuk mencipta satu legasi bersama skuad Sang Kenari dalam mengembalikan zaman kegemilangannya.

Dia melihat keupayaan pemain ini untuk membiasakan diri dengan posisi baharu mencipta satu persepsi bahawa Al Hafiz merupakan prospek penting buat pasukan ini.

"Al Hafiz memiliki pakej lengkap sebagai pemain sayap dengan kelincahan larian dan visi dalam membuat hantaran yang menjadi sebuah senjata utama pemain ini.

"Sebelum ini, di Penang FC, saya lihat dia hanya bermain di posisi sayap kanan tetapi kebelakangan ini, kepercayaan oleh ketua jurulatih untuk membolehkannya bermain dengan lebih bebas menyerlahkan lagi keupayaan pemain ini," katanya.

Tambahan pula, Al Hafiz mempunyai kesungguhan untuk membantu pasukannya bergerak dengan efisien meskipun terpaksa bekerja keras untuk mencipta ruang dan peluang kepada rakan sepasukan.

"Kesungguhan yang saya lihat dalam dia cukup berbeza apabila dia sering turun ke bahagian tengah bagi mengganggu rentak pihak lawan ketika mereka melancarkan serangan," katanya.

Namun, penyokong ini melihat masih terdapat kekurangan daripada Al Hafiz apabila dia tidak mempunyai ketajaman untuk memburu gol ketika diturunkan dalam 11 perlawanan setakat ini.

Bagaimanapun, ia bukanlah satu perkara yang merendahkan kualitinya sebagai pemain yang bagus apabila tanggungjawab menjaringkan gol itu digalas penyerang import, Ronald Ngah Wanja atau Fayadh Zulkifli.

"Jika KDA FC terus menyambung kontrak beliau, kemungkinan untuk pemain ini menjadi bintang adalah sangat cerah, cumanya pasukan perlu kekal bersaing di peringkat tertinggi liga dan di pentas Asia agar bakatnya boleh terus diasah," katanya.

Perkara ini turut diluahkan beberapa penyokong lain yang juga menilai kemampuan dan kebolehan Al Hafiz Harun semakin menyerlah meskipun pasukan ini sedang bergelut.

"Saya harap kontrak dia dapat disambung lagi bagi tempoh masa yang lebih panjang kerana usianya yang masih muda dan Al Hafiz mempunyai kualiti yang sangat baik," kata Nas Gabriel Martinelli.

"Di awal musim, saya nampak dia sedikit bergelut dengan prestasi, tetapi dalam dua perlawanan baru-baru ini, saya sudah nampak peningkatan dan saya harap ia akan terus konsisten," kata Che Det.

Meskipun terdapat khabar angin yang mengatakan Al Hafiz bakal pulang ke pangkuan Penang FC, perkara ini seakan sukar untuk direalisasikan skuad Harimau Kumbang apabila KDA FC pasti akan bersungguh-sungguh untuk mengekalkan pemain itu di Stadium Darul Aman.

Bagi Al Hafiz pula, kemampuan untuk Sang Kenari bersaing musim depan adalah lebih baik apabila usahawan, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar menjadi pemilik saham terbesar buat pasukan ini.

Persoalannya, mampukah penyokong menerima kehadiran Al Hafiz dalam skuad Sang Kenari apabila pemilikan baharu mampu menarik lebih banyak pemain import dengan tahap yang lebih baik?

Selain itu, adakah pemain ini mampu dipilih sebagai kapten pada masa depan oleh ketua jurulatih meskipun hanya baru beberapa musim bersama kelab itu? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram