Rahadiazli ada atau tidak, JDT tetap pilihan juara Piala FA


  • Podium
  • Ahad, 04 Sep 2022

JDT dikatakan pasukan pilihan untuk menjadi juara Piala FA. — Facebook/ MFL

MENJELANG final Piala FA, Terengganu FC dalam 'form' terbaik untuk bertemu gergasi Liga Malaysia ( Liga M), Johor Darul Takzim (JDT) pada aksi yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, 10 September depan.

Namun, keadaan penjaga gol mereka, Rahadiazli Rahalim ketika ini meresahkan barisan kejurulatihan kerana pemain berusia 21 tahun itu mungkin tidak dapat beraksi pada saingan akhir itu.

Rahadiazli terpaksa dikejarkan ke hospital ekoran bertembung dengan pemain gantian Melaka United FC, Harith Naem Jaineh di dalam kotak penalti sewaktu perlawanan antara TFC dengan Sang Kancil di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu.

Penolong jurulatih Terengganu FC, Hairuddin Omar ketika dihubungi Majoriti berkata, insiden tersebut sememangnya meresahkan seluruh pasukan lagi-lagi Rahadiazli antara tonggak utama kepada skuad Sang Penyu.

303299818_1540449093052433_7064505610936189789_n

Rahadiazli terpaksa dikejarkan ke hospital ekoran bertembung dengan Harith Naem Jaineh di dalam kotak penalti sewaktu permainan memasuki minit ke-46.

Keadaan itu menurutnya sedikit sebanyak menjejaskan persiapan TFC ketika ini termasuk dari segi pemilihan pemain dalam skuad utama untuk menentang JDT yang terkenal sebagai lawan yang kuat.

Kehadiran Rahadiazli dalam kesebelasan utama amat diharapkan lebih-lebih lagi dia antara yang mendapat kepercayaan dan membantu TFC mengharungi saingan separuh akhir Piala FA menentang skuad Merah Kuning pada 6 Ogos lalu.

"Semestinya pasukan mengharapkan sumbangan Rahadiazli sekali lagi pada perlawanan akhir seperti mana yang dia lakukan semasa separuh akhir lawan Selangor," kata Hairuddin lagi.

Ditanya jika motivasi pemain ketika ini yang nampak positif selepas menewaskan Melaka dapat membantu TFC menjelang final nanti, Hairuddin beranggapan bahawa ia bukan satu ukuran sebenar.

"Itu pandangan sahaja, ia bukan ukuran sebenar. JDT tetap pasukan pilihan untuk jadi juara," ujarnya.

Sementara itu, jurulatif TFC, Nafuzi Zain berkata, Rahadiazli sudah dibenarkan keluar hospital pada petang Ahad.

Dia berkata, keadaan penjaga gawang itu masih belum boleh dijelaskan dengan lanjut kerana masih belum ada laporan daripada pasukan perubatan.

"Saya belum boleh beritahu lebih lanjut kerana perlu menunggu perkembangan daripada pasukan perubatan tetapi saya berharap supaya beliau (Rahadiazli) dapat pulih dan bermain di perlawanan akhir Piala FA Sabtu depan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram