JUARA Liga Super lapan kali berturut-turut, Johor Darul Takzim (JDT) gagal meratah Selangor FC apabila hanya sekadar seri 1-1 ketika beraksi di hadapan penyokong lawan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor, pada Sabtu.
Keputusan itu bagaikan merentap ego Harimau Selatan kerana tidak mampu mengulangi kecemerlangan serupa ketika membenam skuad King of Malaya dengan kemenangan besar 5-1 dalam pusingan pertama Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 24 Jun lalu.
Ketika itu, JDT yang dikendalikan Benjamin Mora dilihat tidak sukar untuk mencipta jaringan demi jaringan untuk mengumpul tiga mata berharga sekali gus merampas kedudukan teratas liga daripada Sabah FC yang mendahului carta liga pada waktu itu.
Cuma, di bawah bimbingan ketua jurulatih baharu, Hector Bidoglio, JDT bagaikan hilang arah kerana dilihat begitu sukar menembusi gawang Selangor yang kini dipimpin jurulatih sementara, Nidzam Jamil.
Malah rekod tanpa kalah paling lama dalam Liga Super yang dicipta JDT dalam 45 permainan away sejak Mac 2018 tidak cukup untuk menggembirakan penyokong Harimau Selatan.
"Kena pressing..terus hilang rentak, tengah langsung tak jadi. Pemain Selangor setiap sudut padang ada, JDT main long ball saja.
"Nak bawa bola dari bawah..kena press pula dengan Selangor... sudahnya long ball. Ni ke taktikal daripada coach baharu?," persoal Saiful Abdullah.
Dzul Yahya pula berpendapat seolah-olah ada sesuatu yang tak kena dengan permainan JDT di bawah kendalian Bidoglio.
"Terus-terang saya katakan macam ada sesuatu yang tak kena pada permainan JDT sekarang khususnya bermula daripada HB (Bidoglio) menjadi jurulatih.
"Saya tak pasti apa puncanya. Hanya pemain dan pengurusan JDT yang tahu puncanya. Bagaimanapun, tak salah jika saya berteori. Komunikasi antara pemain dan coach mungkin ada kekangan," ujarnya.
Nazri Tumari berkata, perlawanan tersebut adalah 'ujian' sebenar pertama yang menguji kebijaksanaan Bidoglio dalam menyusun kesebelasan utama dengan jadual rehat yang pendek.
"Jelas corak permainan JDT malam tadi (Sabtu) bukanlah yang terbaik. Sama ada ia 'sebahagian' taktikal kerana tidak mahu menggunakan kekuatan penuh atau tidak, yang nyata, ia tidak 'menghiburkan' sebahagian besar peminar JDT.
"Lebih elok jika perlawanan malam tadi diistilahkan sebagai wake up call kepada HB, kerana selepas ini adalah perlawanan akhir Piala FA bertemu TFC," katanya.
Hijaz Ottorius pula berasakan, tiada gunanya jika JDT terus membeli pemain-pemain mahal jika kejurulatihan gagal menterjemahkan kemenangan dan semangat berpasukan dalam kalangan pemain.
"11 pemain terbaik dunia kalau dikumpulkan di JDT, jika coach hauk dengan Selangor pun boleh kena titik tau. Tak payahlah mimpi Mesut Ozil dan Papu Gomez," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram