PERTEMUAN antara gergasi Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) dengan Selangor FC pada Sabtu berkesudahan seri 1-1.
Menerusi perlawanan yang diadakan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor itu, JDT memperoleh gol menerusi Bergson da Silva ('33) manakala Selangor FC mendapat jaringan menerusi Caion ('64).
Ada yang beranggapan keputusan seri itu ibarat membuka peluang kepada Terengganu FC (TFC) yang bakal bertemu JDT di saingan akhir Piala FA pada 10 September depan.
Namun, penyokong Harimau Selatan melihat apa yang dipersembahkan kelab kesayangan mereka sebagai sebahagian daripada strategi sebelum bertemu Sang Penyu.
Penyerang JDT, Bergson (kiri) meraikan gol yang dijaringkan ketika bertemu Selangor FC. — Bernama
Seorang penyokong JDT, Mawardisidek RdGuerrero berkata, keputusan seri itu berkemungkinan kerana tidak mahu sebarang kecederaan yang teruk kerana perlawanan menentang TFC lebih penting.
Hal sama disampaikan, Mohd Fadzli Echania yang juga berpendapat, skuad kendalian Hector Bidoglia bermain santai kerana tidak mahu sebarang kecederaan kepada pemain.
"Masa perlawanan akhir Piala FA mesti corak permainan berbeza. Lagipun kalau JDT kalah 0-2 menentang Selangor FC, tetap nombor satu dalam Liga Super. Jadi final lagi penting," katanya.
Seorang lagi penyokong, Muhammad Rafidi Abdul Wahab menyifatkan JDT bermain secara 'cerdik' ketika menentang Selangor FC.
JDT menang 2-1 ke atas TFC dalam saingan Liga Super pada 10 Ogos lalu. — Bernama
Jelasnya, apa yang dipamerkan JDT adalah permainan play safe sebagai persiapan sebelum saingan akhir Piala FA.
Azrin Aldrin pula berkata, JDT hanya bermain secara santai ketika bertemu Gergasi Merah.
"Itu adalah untuk mengelakkan Sang Penyu mengkaji dan meneliti kelebihan serta kelemahan pada final nanti," katanya.
Turut bersetuju ialah Danial Ipul yang berkata, taktikal JDT nampak begitu perlahan pada Sabtu untuk mengelirukan TFC.
JDT dan TFC akan bertemu di saingan akhir Piala FA bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram