Jordan Mintah pilih KL City atau TFC?


  • Podium
  • Jumaat, 26 Ogos 2022

Khidmat Jordan Mintah pasti dikehendaki penyokong kedua-dua pasukan ini. — Facebook/Terengganu FC

KEMENANGAN bergaya yang dicatatkan KL City FC dalam perlawanan akhir Piala AFC zon ASEAN pada malam Rabu memastikan pasukan itu mara dalam merebut kejuaraan berprestij itu.

Perlawanan yang diakhiri dengan skor 5-2 berpihak kepada anak buah Bojan Hodak menampilkan permainan yang bertenaga daripada kesemua pemain termasuk pemain import pinjaman daripada Terengganu FC II, Jordan Mintah.

Meskipun hanya mampu menjaringkan dua gol dalam lima perlawanan liga setakat ini, Mintah berjaya menjaringkan satu gol pada babak pertama permainan, hasil daripada serangan balas pasukan itu.

Ketika bersama pasukan Terengganu FC II pula, pemain kelahiran Ghana ini turut menunjukkan ketajamannya di hadapan pintu gol apabila berjaya menjaringkan tujuh gol dalam sembilan perlawanan yang dihadapi.

Berdasarkan prestasi itu, Mintah berjaya menempah namanya sebagai salah seorang import yang dikehendaki pasukan Liga Super musim depan melihat kepada kemammpuan dan usianya yang masih muda.

Namun, dua pasukan yang disebut-sebut sebagai destinasi akhir buat Mintah adalah skuad Sang Penyu yang menduduki tempat keempat dan pasukan semasanya, KL City FC.

Bagi Terengganu FC, kehadiran Mintah pasti akan disenangi para penyokong apabila mereka melihat pemain ini mampu memberikan perbezaan kepada pasukan itu musim depan.

273837782_1404624926634851_218714441592579568_n

Penyokong TFC mahu Jordan Mintah menggantikan Sherman dan Kipre musim hadapan. Facebook/Terengganu FC

Ketumpulan barisan serangan yang diketuai penyerang import, Kpah Sherman dan Tchetche Kipre ini bukan lagi rahsia apabila gandingan import itu hanya mampu menjaringkan 20 gol dalam 16 perlawanan Liga Super ketika ini.

Di samping itu, masa depan pemain sayap, Faisal Halim yang tidak jelas pasti menyebabkan para penyokong mendesak agar pihak pengurusan mengekalkan Mintah serta memasukkannya ke dalam pasukan itu.

Seorang peminat bola sepak tanah air, Abdul Hakim berkata, kehadiran Mintah pasti membawa ketajaman buat jentera serangan Sang Penyu apabila mereka sukar untuk menembusi barisan pertahanan lawan.

"Tolong kembalikan Jordan Mintah ke dalam skuad Terengganu semula, saya lihat dia tu seperti mesin gol. Dalam Piala AFC pun, dia sudah berjaya jaringkan satu gol," katanya.

Bagi Muhammad Sufaad, prestasi yang memberangsangkan oleh Jordan Mintah bersama KL City FC perlu diberi perhatian bagi memastikan pemain itu dapat bermain bersama mereka musim depan.

"Ketika Mintah beraksi dengan baik dalam Piala AFC bersama KL City FC, pihak pengurusan masih tidak sedar akan isu ketumpulan barisan serangan. Saya harap dia dibawa balik semula," katanya.

Bagi Mintah pula, kedudukan Terengganu FC di kedudukan keempat liga pasti akan menjadi tarikan buatnya supaya terus kekal dan beraksi bersama mereka bagi musim 2023.

Sekiranya pasukan kendalian Nafuzi Zain ini mampu mengekalkan rentak, mereka pasti mampu layak untuk bermain di saingan Piala AFC 2023 musim depan.

Namun, Mintah pasti berteka-teki akan masa depannya sendiri apabila dia mampu mengekalkan tempatnya dalam KL City FC yang ketika ini menagih khidmatnya buat musim hadapan.

Sepanjang berada bersama The City Boys, Mintah menunjukkan kebolehan untuk bergandingan bersama seorang lagi penyerang import, Romel Morales bagi mengetuai jentera serangan.

Mereka yang dibantu kapten, Paulo Josue memastikan KL City FC mampu bersaing bagi merebut slot terakhir ke Piala AFC 2023 dengan tujuh perlawanan berbaki.

Perkara ini pasti akan bermain di fikiran Mintah apabila The City Boys kelihatan lebih stabil dan mengancam dengan kendalian ketua jurulatih berkarisma, Bojan Hodak.

Jordan Mintah celebrating by doing the panther prowl after scoring against Kedah. - Photo by Kuala Lumpur City FC

Mintah mula disayangi penyokong KL City FC.

Keupayaan Hodak sepanjang berada di kancah bola sepak tanah air tidak boleh dipandang rendah apabila kejayaan demi kejayaan berjaya dicapai jurulatih kelahiran Croatia ini.

Di samping itu, Mintah juga berjaya memenangi hati penyokong dengan sumbangannya dalam menghasilkan gol, termasuk kelincahan dan kelajuannya yang menjadi aset penting.

Meskipun gol dan bantuan jaringannya bukanlah satu catatan yang prolifik, Mintah mempunyai gaya dan keperibadian yang menarik, termasuk gaya keraian gol yang mendapat perhatian penyokong kelab itu.

Bagi Syahrul DG, pihak pengurusan KL City FC perlu bertindak pantas bagi mendapatkan khidmat Mintah sekiranya mereka berminat untuk membina sebuah pasukan yang mencabar kejuaraan musim hadapan.

"Aku cukup berminat sekiranya KL City FC mampu mendapatkan khidmat Jordan Mintah daripada Terengganu FC kerana dia seperti lebih laju dan lincah berbanding penyerang, Kevin Koubemba," katanya.

Perkara itu turut disuarakan Rachmat al-Qadrie yang bersetuju kemasukan pemain berjersi nombor 82 itu memberi kelebihan kepada pasukan itu dalam beberapa permainan berbaki.

"KL City FC ini wajar memenangi final itu apabila mereka berjaya mendapatkan penyerang import, Jordan Mintah yang menambah keupayaan pasukan. Jadi, mereka sememangnya lebih bersedia," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram