Dua badi Kedah berterusan, Mintah bantu KL City melonjak


  • Podium
  • Rabu, 27 Jul 2022

Antara aksi antara Kedah dan KL City di Stadium Cheras pada Rabu. - Facebook KDA FC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC gagal untuk menghapuskan badi kemenangan di Kuala Lumpur apabila tewas 1-2 kepada Kuala Lumpur (KL) City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Cheras pada Rabu.

Hanya beberapa jam sebelum perlawanan itu bermula, tersebar maklumat mengatakan Aidil kehilangan beberapa pemain utama, menyebabkan penyokong Sang Kenari merasakan ia menjadi alasan jika Kedah gagal mencapai keputusan baik dalam perlawanan itu.

Meskipun Kedah tanpa kelibat pemain-pemain utama, pengendali KL City FC Bojan Hodak berkata, pasukan lawan mempunyai dua penyerang terbaik iaitu Ronald Ngah Wanja dan pemain baharu, Mahmoud Al-Mardi.

Katanya, kedua-dua pemain itu disifatkan sangat bahaya dan boleh skor gol dari mana-mana posisi.

"Tetapi, kita juga perlu berhati-hati dengan Fayadh Zulkifli yang akan jadi berbahaya jika kita memberinya ruang kosong," ujarnya.

Namun Aidil cuba membuktikan sebaliknya apabila memberi kepercayaan kepada pemain-pemain muda untuk bersemuka juara Piala Malaysia 2021 itu.

Malah Aidil terus dibelenggu krisis kecederaan apabila kehilangan khidmat penjaga gol utama, Ifwat Akmal yang digantikan Sharil Sa'ri.

Ini terbukti dengan kemampuan Aiman Afif sebagai pemecah kebuntuan apabila membuka tirai jaringan menerusi tandukan kemas menewaskan Kevin Mendoza pada minit ke-45 hasil hantaran lintang Syazwan Zainon.

Corak perlawanan dalam separuh masa pertama agak seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan tiang serta palang menjadi penghalang untuk memecah kebuntuan sehinggalah jaringan pemain berusia 21 tahun itu.

Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Babak kedua menyaksikan KL City lebih agresif untuk mengasak kubu Kedah dan hasilnya pasukan tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan menerusi hasil sepakan penalti Jordan Mintah pada minit ke-56.

Ia merupakan gol pertama Mintah bersama KL City sejak berpindah dari Terengganu FC.

Selang dua minit kemudian, Kedah pula dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Kamal Azizi.

Tetapi badi penalti Ronald Ngah Wanja berterusan apabila sepakannya sekadar singgah ke palang.

Mintah terus mencetak gol buat KL City apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-71.

Keputusan ini menyaksikan Kedah turun ke tangga kelima Liga Super dengan mengumpul manakala KL City FC memintas kekedudukan keempat.

Sebagai rekod, Kedah gagal memenangi perlawanan menentang KL City di Stadium Cheras sejak 2018. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram