'Macam mana nak maju?' Penyokong Ngap Sayot desak segera atasi isu tunggakan gaji


  • Podium
  • Rabu, 24 Ogos 2022

Persembahan kurang bermaya ketika berdepan PJ City FC menghampakan para penyokong SUFC — Facebook/Sarawak United FC Official

MASALAH tunggakan gaji yang dihadapi pemain Sarawak United FC (SUFC) jelas memberi kesan terhadap corak permainan yang dipamerkan di atas padang sepanjang musim ini.

Perkara ini dapat dilihat apabila skuad Ngap Sayot hanya mampu menjaringkan 15 gol selain mencatatkan rekod pertahanan tercorot apabila pintu gawang mereka telah dibolosi sebanyak 37 kali dalam saingan liga.

Baru-baru ini, pasukan kendalian S. Balachandran itu terikat tanpa jaringan ketika berdepan PJ City FC di laman sendiri.

Keputusan itu menyaksikan mereka kekal di tangga ke-11 liga selepas hanya mampu mengumpul 14 mata setelah mengharungi 17 perlawanan.

Prestasi pasukan yang seakan tidak bermaya dalam perlawanan itu semestinya menghampakan penyokong Ngap Sayot yang hadir ke Stadium Negeri, Kuching bagi memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan mereka ini.

Mereka pasti merasakan isu ini tidak boleh berlanjutan tatkala ia akan terus memberi kesan jangka masa panjang terhadap pencapaian pasukan dan barisan pemain di atas padang.

299606905_502781355181686_5502323560781330230_n

Penyokong SUFC pasti mengharapkan persembahan lebih bertenaga daripada pasukan itu. Facebook/Sarawak United FC Official

Penyokong bola sepak, Anthanasius Sibat berkata, isu tunggakan gaji ini merupakan asbab kepada prestasi para pemain yang kelihatan merudum serta tidak menunjukkan kesungguhan.

"Hampir setiap tahun, pasti ada masalah tunggakan gaji ini juga, jadi bagaimana pasukan bola sepak Bumi Kenyalang mahu berjaya sekiranya pihak pengurusan terlalu lemah?

"Saya harap pihak yang bertanggungjawab sedar untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik supaya hak para pemain ini terjaga," katanya menerusi Facebook.

Perkara itu turut disuarakan Dolhanmat Has yang mengakui pasukan SUFC itu sering terpalit dengan isu tunggakan gaji sehingga memberi kesan terhadap aksi di atas padang.

"Isu gaji itu merupakan salah satu masalah yang besar bagi kelab ini sehingga menyebabkan mereka tidak mempunyai semangat untuk beraksi dengan lebih baik," katanya.

Bagi Saidi Danial, prestasi dan keadaan skuad Ngap Sayot pasti sukar untuk menunjukkan peningkatan sekiranya masalah ini masih tidak dapat diselesaikan.

"Tolonglah selesaikan isu gaji para pemain ini. Sampai bila bola sepak Sarawak hendak maju sekiranya isu gaji ini masih berbangkit?" katanya.

Sebelum ini, media melaporkan SUFC mempunyai tunggakan gaji pemain selama empat bulan berikutan kegagalan pihak pengurusan untuk mentadbir hal-hal kewangan dengan sistematik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram