Rasa taktikal cukup berkesan, masalah gaji SUFC bukan masalah saya — Balachandran


  • Podium
  • Ahad, 14 Ogos 2022

SUFC gagal mencuri sekurang-kurangnya satu mata ketika berdepan TFC. — Facebook/TFC

TEWAS 0-1 di tangan Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Terengganu, pada Sabtu, Sarawak United FC (SUFC) terpaksa menerima hakikat untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata di tempat lawan.

Ia merupakan kekalahan tipis kedua Sarawak selepas turut tewas 0-1 pada aksi Derbi Borneo menentang Sabah FC, Selasa lalu.

Rentetan kekalahan berturut-turut di laman lawan itu, terdapat penyokong yang mempersoalkan corak permainan yang dipamerkan oleh barisan pemain skuad Ngap Sayot.

Malah pada masa sama, ada juga peminat yang cuba mengaitkan prestasi merudum skuad Bujang Senang didakwa berpunca daripada masalah tunggakan gaji.

Namun, pengendali Sarawak United, S Balachandran berkata, beliau cukup berpuas hati dengan prestasi pemainnya dan menyatakan bahawa taktikal yang digunakan juga cukup berkesan.

Menurutnya, anak-anak buahnya bermain cukup baik dalam kedua-dua aksi Liga Super itu dan mereka juga mampu mengawal pasukan lawan daripada membuat lebih banyak jaringan.

“Dua-dua away game kalah. Lawan TFC kalah, lawan Sabah kalah. Untuk perlawanan semalam (Sabtu), walaupun kalah 0-1 tapi kita bermain di Terengganu. Terengganu memang cukup hebat lagi-lagi lepas main dengan JDT.

“Bagi saya pemain memberi 100 peratus komitmen tetapi kita tidak boleh membuka terus main, kena main defensive sambil peluang untuk menyerang. Jangan main terlalu terbuka, jadi taktikal kita berfungsi baik sebab kalah 0-1. Kalau main tak defensive memang bocor. Jadi saya rasa taktikal dan strategi saya cukup berkesan.

“Malah mereka (TFC) skor pun dalam masa ke-70 lebih, saya rasa taktikal saya cukup berkesan,” katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2022-08-14 at 1.31.19 PM

Antara aksi perlawanan antara SUFC dan TFC. — Facebook TFC

Bila ditanya mengenai isu gaji, Balachandran enggan mengulas lanjut dan menyerahkan isu tersebut pada pihak pengurusan.

“Masalah gaji bukan masalah saya, sebagai jurulatih saya buat kerja saya dan pemain pun beri 100 peratus beri komitmen.

“Kita dah memang cukup baik, kita pun berada dalam tangga ke 10. Kita pun bermain dengan kumpulan teratas jadi kita kena realistiklah dengan team yang kuat,” jelasnya.

Terdahulu, Sarawak United kembali terpalit isu tunggakan gaji selepas satu laporan dari portal sukan menyatakan sebuah kelab besar di Borneo dilaporkan sudah empat bulan tidak membayar gaji pemainnya.

Disebabkan itu, ada penyokong yang mengaitkan masalah gaji itu dengan kekalahan dan prestasi pemain skuad Ngap Sayot.

Dalam pada itu, menjelang aksi menentang Petaling Jaya City pada 17 Ogos nanti, Balachandran akan memutuskan barisan kesebelasan utama selepas menelitinya dalam sesi latihan termasuk sama ada tonggak import, Lee Changhoon kembali cergas untuk diturunkan atau tidak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram