HEBOH diperkatakan di media sosial tentang khabar angin perpindahan pemain pertahanan Negeri Sembilan FC (NSFC), Ahmad Khuzaimi Piee yang disebut-sebut berada dalam radar Selangor FC musim depan.
Meskipun sekadar khabar angin, ada penyokong bola sepak tempatan yang berpendapat Khuzaimi atau juga dikenali dengan nama Jimmy, mungkin terlepas peluang untuk beraksi dalam kempen Piala AFC bersama skuad Hobin Jang Hobin, jika perpindahan ke The Red Giants direalisasikan.
Ini kerana sekiranya NSFC berjaya menempatkan diri di kedudukan kedua dalam saingan Liga Super musim ini, pasukan itu layak secara automatik mewakili Malaysia ke kejohanan Piala AFC 2023.
"Tahun depan jangka Negeri Sembilan FC beraksi di Piala AFC, takkan dia (Khuzaimi) melepaskan peluang main di level Asia," ujar seorang penyokong, Zal Zat.
Sementara itu, Iwan Thom berpendapat, kehilangan Khuzaimi sebagai tonggak pertahanan NSFC hanya akan merisikokan keseluruhan pasukan jika skuad bimbingan K. Devan itu layak ke Piala AFC musim depan.
Situasi itu disamakan dengan nasib Kedah Darul Aman FC (KDA FC) selepas perjalanan Sang Kenari dalam kempen Piala AFC terhenti di peringkat separuh akhir Zon Asean apabila tewas 1-2 kepada PSM Makassar baru-baru ini.
"Jika berlaku perpindahan pemain teras Negeri Sembilan ke pasukan lain musim depan, maka lebih baik pasukan itu tidak kejar slot Piala AFC 2023.
"Kita mahukan wakil Malaysia yang lengkap dan bersedia dalam saingan itu.
"Kita tak boleh ulangi kesilapan Kedah yang struggle dalam Piala AFC 2022 disebabkan beberapa tonggak berhijrah selain menukar kesemua pemain import," katanya.
Komen Iwan Thom itu mungkin merujuk kepada sembilan pemain kesebelasan utama pasukan KDA FC yang meninggalkan skuad itu untuk mencari angin baharu bagi musim ini.
Antara pemain kesebelasan utama yang meninggalkan Kedah adalah kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali.
Kedah juga bertindak melepaskan kesemua import mereka musim lepas iaitu Renan Alves, Anumanthan Kumar, Rabih Ataya, Kpah Sherman dan Tchetche Kipre. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram