BARU-baru ini kecoh kononnya ada pasukan pemantau atau 'scouting' Johor Darul Takzim (JDT) di Kedah yang dipercayai mencari bakat dalam kalangan pemain cilik negeri itu.
Kehadiran pemantau bakat dari JDT itu kelihatan di sebuah kejohanan yang berlangsung di Alor Setar iaitu Yakult Global Challenger (YGC) Cup 2022 – Zon Utara.
Situasi itu mencetuskan keresahan dalam kalangan penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC yang berasa tergugat apabila bakat-bakat muda negeri itu kerap disambar oleh pasukan lain terutamanya JDT.
Bagi meredakan kegelisahan itu, seorang pemerhati bola sepak Nasrin Jeniang melalui halaman Kedahan green yellow tampil dengan lima sebab penyokong Kedah perlu berbangga dan ambil positif kehadiran scout dari JDT itu.
Kejohanan YGC Cup 2022 – Zon Utara mengumpulkan bakat-bakat muda dari seluruh negeri di utara tanah air seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan kawasan sekitarnya — Facebook
1) Landasan tepat
Nasrin berkata, usaha pihak yang menubuhkan akademi latihan untuk bakat-bakat muda di Kedah ini sedang menuju landasan yang betul dan merupakan inisiatif yang terbaik.
Ini terbukti apabila ada scout dari kelab luar sanggup datang dari jauh semata-mata nak menilai bakat-bakat muda yang ada di Kedah.
Perkembangan ini juga amat positif kerana menunjukkan pihak pengurusan akademi membuat kerja modul latihan yang serasi.
Bukan lagi rahsia bahawa Kedah mempunyai banyak akademi bola sepak termasuk yang paling terkenal, Kenari Kids untuk melahirkan bakat-bakat muda.
Tambahan, ramai pemain berbakat yang dilahirkan dari akademi Kedah seperti Akhyar Rasid, Mohammad Fayadh Zulkifli Amin, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam dan ramai lagi.
2) Scout JDT tidak salah
Dalam pada itu, Nasrin menasihati penyokong Hijau Kuning agar tidak perlu melatah dengan kehadiran pasukan pemantau Harimau Selatan itu kerana mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan.
Mereka mencari bakat muda untuk kelab mereka dan KDA FC pun boleh saja hantar scout team ke Johor untuk mencari bakat di selatan tanah air.
Tiada siapa yang melarang untuk KDA FC mencari bakat ini di mana saja yang mereka suka.
3) Mana scout Kedah?
Nasrin berkata, KDA FC mungkin mempunyai skuad pemantau sendiri tapi tidak ada gambar yang tular seperti scout JDT.
"Saya tak nak kata KDA FC tiada pasukan pemantau sebab kita tidak tahu situasi sebenar.
"Mungkin masa tu scout KDA FC pun ada. Cuma mungkin tidak ada gambar dan mereka tidak pakai baju KDA FC," katanya.
KDA FC perlu wujudkan satu pasukan pemantau agar pasukan itu tidak terlepas pemain muda yang berbakat — Facebook
4) Rugi kalau tiada
Pemerhati bola Kedah itu juga mengharapkan agar KDA FC mempunyai scout team yang bagus untuk mencari bakat-bakat baharu.
"Bagus kalau ada tapi kalau tiada harap usahakan sebab bila kita dah melangkah ke arah penswastaan kelab tahap profesional perlu ada.
"Sebelum ini selalu dengar cerita banyak pemain muda kita yang bagus dah disunting kelab luar.
"Kalau betul jadi macam itu, sudah menjadi satu kerugian buat kita.
"Ibarat kita hanya biar orang lain ambil secupak demi secupak beras dalam rumah kita," katanya.
5) Isu cable
Nasrin juga berharap tiada lagi isu pemilihan pemain menggunakan cable kerana ia boleh merugikan pasukan.
Walau tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenaran cerita tersebut, Nasrin berharap agar perkara ini tidak berulang kembali agar KDA FC tidak terlepas pemain yang berbakat hanya kerana nak puaskan orang lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram