DESAS-desus mengatakan Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak mungkin tidak akan mengendalikan perlawanan antara skuad Sang Kenari menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada Khamis.
Ini susulan terdapat khabar angin mengatakan Aidil mengalami masalah kesihatan dan tempatnya akan digantikan sementara oleh individu lain.
Penyokong Hijau Kuning menjangkakan penolong jurulatih pasukan itu, Victor Andrag akan menggantikan Aidil berikutan masalah kesihatan yang dihidapi oleh ketua jurulatih itu.
Dalam satu hantaran di laman Facebook Penyokong Bolasepak Kedah Darul Aman (PBKDA), Mohd Ridzwan Muhamad berkata, kemungkinan Victor akan menggalas tugas jurulatih Aidil untuk perlawanan akan datang.
"Jika kesihatan jurulatih Aidil masih tidak mengizinkan, kemungkinan jurulatih Victor akan menggalas tugas jurulatih Aidil bagi menghadapi perlawanan away days di Stadium Cheras, 27 Julai ini nanti," katanya.
Peminat jangka Victor bakal menggalas tugas penting menentang Kuala Lumpur City FC nanti — Facebook
Dalam satu hantaran berasingan, Mohd Ridzwan memaklumkan Aidil disahkan mengidap Influenza A.
"Sama sama kita mendoakan agar jurulatih Aidil diberikan kesembuhan dari ALLAH. Amin," katanya.
Dalam pada itu, pihak pengurusan enggan mengulas mengenai masalah kesihatan yang dihidapi oleh Aidil.
"Lebih baik dapatkan penjelasan dari Aidil sendiri tentang masalah kesihatan dia.
"Tidak ada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Kedah Darul Aman FC untuk Victor ganti Aidil," katanya kepada Majoriti.
Skuad Helang Merah akan menentang KL City FC bagi perlawanan Liga Super pada Khamis ini.
KDA FC berada di kedudukan keempat dalam carta Liga Super Malaysia 2022 dengan kutipan mata 17 menerusi 11 permainan pada musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram