KELANTAN FC terlepas peluang meraih tiga mata walaupun bermain di gelanggang sendiri apabila terikat 1-1 menentang Johor Darul Takzim FC II (JDT II) pada aksi Liga Perdana, di Stadium Sultan Muhammad IV, pada Khamis.
The Red Warriors (TRW) memperoleh gol pertama hasil sepakan penalti, Norshamil Abd Ghani pada minit ke-20.
Namun skuad Kijang Merah terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-37 selepas Jasmir Mehat diarah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua.
Tindakan kasar Jasmir menendang belakang pemain lawan, Aysar Hadi yang terjatuh di depannya menyebabkan dia terus dilayangkan kad merah.
Keadaan tuan rumah itu dimanfaatkan oleh JDT sepenuhnya menerusi Daryl Sham Georger yang membuat jaringan penyamaan di minit ke-50 menghancurkan impian peminat bola sepak Kelantan untuk melihat pasukan mereka meraih 3 mata di gelanggang sendiri.
Sedar akan kesalahannya, Jasmir telah meminta maaf menerusi akaun sosial media Facebook miliknya.
"Saya ingin memohon maaf kepada penyokong The Red Warriors atas insiden yang berlaku pada perlawanan petang tadi.
"Tiada niat langsung untuk bebankan team yang saya wakili, saya cuma manusia biasa dan ada masa kita buat salah juga.
"Saya akan perbaiki dan kawal emosi saya di atas padang, sekali lagi saya ingin memohon maaf di atas perbuatan saya," tulisnya.
Kebanyakkan peminat Kelantan menyalahkan Jasmir yang tidak mampu mengawal emosi sehingga membawa padah pada pasukan sendiri.
Salah seorang peminat TRW, Syafiq Shahri meminta pemain muda itu belajar dari kesilapan
"Terlebih emosi makan diri bos. Sepatutnya kita menang tiga mata. Sayang sungguh.
"Next game buat yang terbaik untuk Kelantan,"katanya.
"Minta maaf boleh tapi kerugian pada pasukan dah tak boleh dinafikan, harap jaga disiplin dan kelakuan atas padang selepas ini,"kata Hype Max.
"Darah muda, darah panas. Semoga selepas ini dapat kawal emosi sebaik mungkin," kata Muhammad Farhan.
Kelantan masih lagi mengekalkan kedudukan pertama dalam carta Liga Premier 2022 Malaysia dengan kutipan 26 mata menerusi 11 permainan pada musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram