Penyokong Kedah mengamuk, logo lama Lang Merah tiba-tiba jadi 'cap ayam'


  • Podium
  • Selasa, 14 Jun 2022

Logo lama KDA FC yang sepatutnya menjadikan helang (kanan) sebagai maskot telah ditukar menjadi ayam (kiri) oleh segelintir individu tidak bertanggungjawab.

PERANG mulut antara penyokong bola sepak tanah air seakan-akan tiada berkesudahan, apabila masing-masing tampil mempertahankan pasukan kegemaran selain mengutuk dan troll pasukan lawan.

Umum mengetahui bahawa Kedah Darul Aman (KDA) FC menjadikan burung helang sebagai maskot pasukan tersebut.

Namun, tindakan segelintir individu tidak bertanggungjawab yang telah menukar maskot logo lama pasukan itu menjadi seekor ayam mendapat kecaman daripada penyokong tegar Kedah.

Biarpun sekadar troll, maskot tersebut dipercayai ditukar oleh segelintir penyokong Johor Darul Takzim (JDT), disebabkan sentimen kedua-dua penyokong Kedah dan negeri terbabit yang kerap berbalah di media sosial sejak sekian lama.

Berang dengan perkara itu, Roshidi Daud Shidi memberi peringatan kepada segelintir peminat JDT supaya berpada-pada memberi kutukan dan tidak perlu sampai membuat penghinaan.

"Dan jangan melampau sangat. Sebagai anak Kedah, saya tak kisah fan (peminat) J yang fanatik tu nak buat apa-apa pun sebab tu hak masing-masing, tapi jangan disebabkan sikap b***h kalian boleh mengundang satu perkara yang tidak elok di dalam arena penyokong bola sepak Malaysia.

"Jangan sampai nanti ada fan negeri lain edit lambang negeri kau orang pula yang sakit hati," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Roshidi Daud Shidi turut menegaskan bahawa, penyokong bola sepak perlu mempunyai ilmu selain menggunakan akal sebaik mungkin untuk menjaga nama negeri masing-masing.

"Jangan ingat bila TMJ (Tengku Mahkota Johor) adalah pemilik JDT (Johor Darul Takzim), kau orang boleh buat apa sahaja dalam arena bola sepak Malaysia.

"TMJ fikir siang malam dan berusaha buat JDT jadi terbaik, tetapi ada pula segelintir penyokong J yang sedang berusaha nak merosakkan imej JDT.

"Oleh itu, jadilah penyokong yang beradab jangan jadi biadab," tulisnya lagi.

Tambahnya, hantaran tersebut bukan hanya ditujukan kepada segelintir penyokong dari negeri selatan tanah air itu sahaja, malah turut memberi peringatan kepada peminat dan penyokong bola sepak Malaysia yang lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram