'Troll' De Paula ke Kedah, penyokong JDT terdesak lepaskan bintang kesayangan


  • Podium
  • Rabu, 15 Jun 2022

De Paula dikhabarkan bakal ke KDA FC. — Agensi

BINTANG Johor Darul Takzim (JDT), Guilherme de Paula nampaknya sudah 'hilang tempat' di hati peminat dan penyokong kelab Harimau Selatan itu.

Aksinya yang longlai bersama skuad Harimau Malaya sebagai pemain naturalisasi negara, tidak dapat lagi diterima peminat bola sepak tanah air, begitu juga dengan penyokong JDT.

Hanya tampil dalam lima perlawanan bersama JDT sejak perpindahannya ke kelab selatan itu, De Paula dilihat gagal mengulangi aksi terbaiknya ketika bersama Kuala Lumpur dan Perak FC.

Pemain penyerang itu gagal menjaringkan gol bersama JDT serta jarang diturunkan tetapi tetap menjadi pilihan menyertai skuad kebangsaan termasuk pada sesi Kelayakan Piala Asia 2023.

Pemilihannya membuatkan ramai mempertikaikan 'kelebihan' yang dimiliki De Paula walaupun dia jarang beraksi dan sengatnya dilihat sudah semakin hilang.

Mungkin disebabkan itu, tercetus 'troll' perpindahan yang merelakan pemergian De Paula ke Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Meskipun berita itu sekadar usikan antara penyokong JDT dan Kedah, ramai di antara mereka bersyukur jika ia direalisasikan sehinggakan ada yang mahu mengadakan kenduri doa selamat untuk meraikannya.

Perkara itu dikongsi penyokong menerusi komen di hantaran akaun JDT FANS TEAM yang berkongsi gambar 'troll' jendela perpindahan kedua Liga Malaysia itu.

paula pindah

Pemilik akaun Putra Jaybee menulis ringkas di ruangan komen bahawa sekiranya De Paula benar ke KDA FC dia mahu mengadakan kenduri doa selamat.

"Wahhh.. kalau betul aku buat doa selamat," tulisnya.

Sementara itu, pemilik akaun, Gempita Sejagat menyifatkan bahawa berita perpindahan De Paula sebagai satu khabar yang menggembirakan.

"Berita paling menggembirakan," katanya.

Dalam pada itu, seorang penyokong lain, Yem Cikun pula berkata dia sangat berharap agar khabar angin perpindahan De Paula ke KDA FC akan menjadi kenyataan.

"Sama sama lah di sepanjang malam kita berdoa agar jadi kenyataan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram