KEDAH Darul Aman (KDA) FC masih belum berputus asa untuk mencari pemain baharu ketika jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) belum ditutup.
Ini susulan kegagalan Kedah mendapatkan 'playmaker' Jordan, Ahmed Israiwah yang pada awalnya dikhabarkan akan terbang ke kelab utara itu bagi menguatkan skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak dalam saingan Piala AFC.
Pemerhati bola sepak, T Avineshwaran menciap mengenai perkara itu pada Twitternya.
Pembatalan itu berlaku apabila Al-Wehdat SC masih memerlukan khidmat beliau bagi memperkukuhkan pasukan itu dalam kejohanan sama.
Israiwah sebelum ini pernah beraksi bersama penyerang KDA, iaitu Ronald Ngah Wanjah sewaktu di Jordan untuk mewakili Al-Salt SC.
Sang Kenari mahu menebus kekecewaan itu apabila dilaporkan tonggak pasukan kebangsaan Jordan kini menjadi buruan sebagai pengganti Israiwah.
Difahamkan, rundingan masih di peringkat awal dan persetujuan dijangka dicapai apabila skuad Jordan menamatkan kempen kelayakan Piala Asia 2023 yang sedang berlangsung.
Berikut adalah kemungkinan tiga nama pemain yang bakal disambar Kedah untuk menggantikan Israiwah.
1. Khalil Bani Attiah
Pemain berusia 31 tahun ini merupakan pemain positi tengah selain boleh beraksi sebagai pemain tengah pertahanan sebagai ganti jika Derchi Marcel mengalami kecederaan.
Khalil mempunyai pengalaman dalam saingan AFC apabila tampil dalam 10 perlawanan dan menyumbang satu gol.
Dia kini merupakan pemain kelab Al-Hussein SC dan sudah tampil dalam 23 perlawanan untuk Liga Profesional Jordan.
Walaupun aksinya di kelab kurang memberangsangkan, tetapi Khalil mempunyai rekod yang baik bersama skuad negara apabila muncul dalam 74 perlawanan antarabangsa dan menyumbang enam gol.
Khalil mempunyai kelebihan dari segi kekuatan mental untuk bersaing di peringkat lebih tinggi berdasarkan pengalamannya bersama skuad negara.
2. Ahmad Sameer
Pemain tengah menyerang ini merupakan pengganti sesuai untuk posisi Israiwah.
Malah beraksi dengan kelab yang sama buat Israiwah, mengecilkan peluangnya untuk diturunkan oleh Al-Wehdat SC.
Ini dapat dilihat berdasarkan jumlah perlawanan pemain berusia 31 tahun itu bersama kelab itu apabila hanya tampil dalam enam perlawanan AFC tetapi impaknya amat baik kerana berjaya menyumbang tiga gol.
Jika memerlukan lebih banyak minit permainan, Kedah menjadi destinasi terbaik buat Sameer kerana masih dapat lagi bermain dalam saingan AFC.
Pengalamannya bersama skuad kebangsaan Jordan juga amat baik apabila menyumbang lima gol daripada 66 perlawanan antarabangsa.
3. Saleh Rateb
Dengan usia yang masih muda iaitu 27 tahun, Saleh merupakan calon sesuai untuk dibawa masuk Kedah, sekali gus membantu pasukan itu lebih cemerlang dalam saingan AFC.
Saleh yang kini beraksi Al-Khalidiya SC, muncul dalam 11 perlawanan AFC dengan menyumbang tiga gol walaupun bermain sebagai posisi pemain tengah.
Pengalamannya dalam Liga Juara-Juara AFC juga pastinya amat ditagih Aidil mengharungi saingan AFC yang akan berlangsung di Indonesia hujung bulan ini.
Bagaimanapun, dia kurang mendapat tempat utama dalam saingan liga tempatan dan ini boleh menjadi faktor perpindahan ke Kedah bagi bermain dengan lebih kerap.
Di peringkat antarabangsa, Saleh tampil dalam 17 perlawanan bersama Jordan sejak kali pertama bermain dengan skuad itu pada 2014. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram