Pekerja asing hidup berhimpit, kotor, padat


  • 112
  • Rabu, 27 Apr 2022

Majikan menjadikan kontena sebagai asrama dua tingkat yang menempatkan kira-kira 50 pekerja asing warga Myanmar dan Bangladesh dalam keadaan sempit.— Bernama

KOTOR, jijik dan padat malah lantai kontena yang dijadikan asrama pekerja yang dihuni pekerja warga asing disediakan majikan mereka di sebuah kilang membuat cerucuk besi di Sungai Lokan, di Butterworth, Pulau Pinang, berlubang serta terpaksa tinggal bersama ruang memasak di dalam kontena sama.

Bagaimanapun, tindakan majikan yang tidak berperikemanusiaan itu akhirnya terbongkar apabila Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) melakukan pemeriksaan mengejut asrama pekerja di situ bermula pukul 9.30 pagi Rabu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JTKSM Mohd Asri Abdul Wahab berkata, dalam operasi itu, pihaknya mendapati kilang tersebut menyediakan penginapan dalam keadaan kotor dan padat sekali gus melanggar peraturan yang ditetapkan iaitu Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 (Akta 446).

"Dalam pemeriksaan di situ, majikan menjadikan kontena sebagai asrama dua tingkat yang menempatkan kira-kira 50 pekerja asing warga Myanmar dan Bangladesh dalam keadaan sempit malah lantai kontena berlubang serta berbahaya kepada mereka dan tiada sijil perakuan JTKSM.

"Selain itu majikan juga didapati tidak memenuhi spesifikasi seperti tilam yang kurang daripada empat inci tebal, tong sampah bertutup, tidak menyediakan peti pertolongan cemas, dan almari berkunci bagi membolehkan pekerja menyimpan barangan mereka," katanya kepada pemberita selepas operasi penguatkuasaan khas bersepadu Akta Perburuhan dan akta berkaitan bagi memerangi isu buruh paksa, di Butterworth, Pulau Pinang pada Rabu.

Turut sama dalam operasi tersebut adalah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia seperti JTKSM, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, pemeriksaan di sebuah lagi asrama pekerja asing juga mendapati majikan menyediakan penginapan melebihi kapasiti yang ditetapkan malah tidak mempunyai sijil perakuan daripada JTKSM.

Katanya, setiap majikan yang menyediakan asrama pekerja asing perlu memastikan mereka mempunyai sijil perakuan tersebut dan jika gagal berbuat demikian boleh dikompaun sehingga RM50,000.

"Kami akan terus memperkukuhkan penguatkuasaan Akta 446 yang perlu dipatuhi semua sektor berkaitan dan menjadi keperluan selaras dengan kebenaran penggajian pekerja asing. Pematuhan akta ini perlu agar kebajikan pekerja terjaga selain penyediaan kemudahan dalam aspek perumahan dan penginapan perlu dititikberatkan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Asri berkata, sebanyak RM10.81 juta nilai kompaun direkodkan membabitkan kesalahan mengabaikan pekerja oleh majikan sejak Februari 2021 hingga 20 April 2022.

Katanya, bagi tempoh sama pihaknya telah memeriksa 42,572 majikan membabitkan 175,876 penginapan dan membuka sebanyak 1,401 kertas siasatan dengan 148 kertas siasatan telah diambil tindakan pendakwaan melibatkan jumlah denda yang perlu dibayar sebanyak RM1.052 juta.

"Sebanyak 968 kertas siasatan telah diberikan izin kompaun yang melibatkan tawaran kompaun berjumlah RM10.81 juta dan kami juga telah melaksanakan pelbagai aktiviti penguatkuasaan secara bersepadu dan memfokus kepada semua akta sebagai usaha untuk mengesan sebarang kewujudan elemen buruh paksa," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram