SATU foto yang memaparkan sebuah kereta 'diselubungi' pelekat berunsur kelucahan dan merendahkan golongan janda tular di media sosial pada Rabu.
Foto tersebut mengundang rasa marah dan jijik oleh netizen yang berasakan budaya melucah sudah semakin biasa dan tenat dalam kalangan masyarakat.
Ramai yang mengecam tindakan pemilik kereta itu yang dilihat seolah-olah mempromosi budaya melucah dan merendahkan golongan janda dengan pelbagai pelekat dengan ayat-ayat yang tidak enak dibaca.
Seorang pengguna Facebook, Muhammad Norshafiq berkata, tindakan pemilik kenderaan itu jelas menunjukkan normalisasi kelucahan dalam kalangan masyarakat.
"Apabila tindakan menampal pelbagai pelekat berunsur lucah di kenderaan mula dianggap sebagai 'lawak jenaka', lalu diuar-uarkan pula kelucahan itu secara umum seolah-olah bukan satu kesalahan, baik kesalahan dari sudut agama mahupun moral, membuktikan bahawa sebilangan marhaen kini semakin 'tenat'.
"Selagi mana marhaen bermentaliti songsang masih wujud, selagi itulah budaya menormalisasi kelucahan melampau akan berkekalan. Tambahan pula, golongan ini bukan hidup berseorangan, boleh dikatakan ramai dalam kalangan mereka sudah berkeluarga.
"Oleh itu, kita boleh bayangkan bagaimana herotan pemikiran bakal diwariskan kepada generasi akan datang khususnya golongan remaja dan kanak-kanak; di kala kapasiti intelektual mereka belum cukup ampuh untuk menapis budaya pemikiran yang kotor, sekali gus mudah terpengaruh," katanya.
Disebabkan itu, katanya, generasi akan datang akan mula terpengaruh dengan budaya songsang dan menganggap kelucahan adalah sesuatu yang normal dalam masyarakat.
Tambahnya, isu ini akan menyebabkan negara ke dalam krisis permasalahan sosial disebabkan sifat malu sanggup digadai demi meraih populariti.
"Dengan platform media sosial yang semakin hari semakin berevolusi, di samping pertambahan bilangan pempengaruh (influencer) serta pencipta kandungan (content creator) yang tidak bermaruah, maka kita semua sudah boleh jangkakan ke mana hala tuju generasi muda yang hidupnya berorientasikan media sosial.
"Cukup-cukuplah dengan video lagu raya yang mempromosikan budaya songsang, pencipta-pencipta kandungan yang sanggup menghasilkan video lagha sambil mengiklankan syarikat judi, termasuk pelbagai percubaan menjadi terkenal dengan menggunakan taktik 'bad marketing', ruang media sosial kita perlu dijernihkan segera," katanya.
Dia turut meluahkan kebimbangan terhadap kelewatan pihak berkuasa merangka pelbagai polisi serta dasar strategik untuk mengawal perkara-perkara seperti itu akan menyebabkan masalah sosial terus berleluasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram