BARU-BARU ini tular gesaan sesetengah ibu bapa yang mengharapkan pakaian seragam sekolah dimansuhkan oleh pihak kerajaan kerana menurut hantaran dari seorang pengguna Facebook pakaian berkenaan hanya menyusahkan mereka.
Menurut hantaran tular itu, tidak ada sebarang manfaat pun jika pelajar menggunakan pakaian seragam dan dia turut membandingkan situasinya di Amerika Syarikat yang mana banyak kelebihan memakai pakaian biasa ke sekolah.
Pengguna Facebook itu mengemukakan antara kelebihan tidak menggunakan pakaian seragam adalah seperti menjimatkan duit, tidak mudah kotor dan sekali gus dapat mengurangkan kerja harian ibu bapa di rumah.
Namun pendapat itu kurang dipersetujui oleh pengguna media sosial lain termasuklah pendakwah selebriti, PU Rahmat yang merasakan pemakaian seragam di sekolah adalah cara untuk menyelamatkan maruah anak-anak dari keluarga susah.
"Ada gesaan daripada ibu bapa untuk memansuhkan uniform pelajar sekolah. Saya tidak bersetuju. Uniform sekolah menyelamatkan maruah keluarga M40 dan B40.
"Kasihanilah ibu bapa B40 yang kesempitan kewangan. Jangan tambah beban mereka. Mereka nak beli sepasang baju kemeja pun sudah pening kepala," katanya.
Malah, menurutnya jika uniform disekolah dimansuhkan sewaktu zamannya bersekolah dahulu, PU Rahmat akui pasti keyakinan dirinya terus lenyap apabila melihat gaya dan fesyen rakan-rakan yang lebih mewah.
"Ada hal dalam sistem pendidikan kita yang perlu kekal dan banyak hal perlu diubah. USA bukanya cerdik dalam semua hal dan Malaysia bukannya bodo* semua hal," jelasnya.
Komen-komen yang mempersetujui pendapat PU Rahmat.
Sehubungan dengan itu, hantaran dari PU Rahmat berhubung isu berkenaan mendapat sambutan positif oleh warganet lain dan ibu bapa turut risau jika pelajar sekolah berpakaian bebas pasti berlaku masalah disiplin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram