ISU anak jati antara perkara hangat dibincangkan oleh netizen baru-baru ini.
Ada yang berpendapat, isu itu tidak perlu dibangkitkan kerana pemain import turut memberi sumbangan besar dalam arena sukan bola sepak di negara ini.
Selain itu, ada yang memberi pendapat sekiranya peminat hanya berharap pemain anak jati, maka sukan bola sepak negara ini tidak boleh pergi jauh atau lebih maju.
Malah, ada juga yang menganggap isu itu harus ditekankan bagi memberi keutamaan kepada anak jati di sesebuah negeri untuk memajukan sukan tersebut.
Dalam perlawanan Liga Super pusingan kedua antara Kedah Darul Aman (KDA) menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada Selasa malam, seorang penyokong bertanyakan soalan sama ada Sang Kenari perlu menampilkan semua pemain anak jati.
"Korang (anda) rasa patut tak Kedah guna semua anak jati untuk pusingan kedua ni? Import semua dilepaskan," soal Ahmad Faizal.
Menjawab persoalan itu, Mohammad Syazaney berkata, pasukan Kedah tidak memerlukan pemain anak jati, sebaliknya harus menampilkan ubi muda.
Memberi contoh Syafiq Ahmad dan Syazwan Zainon, katanya, pemain tersebut bukanlah anak jati Kedah namun bakatnya dicungkil oleh negeri itu.
"Baru nampak pelapis berbakat di masa depan. Kelab besar asyik beli-beli ja player (pemain) tak guna juga.
"Contohi Terengganu dan Selangor. Sukan Sea di Vietnam berapa banyak player muda daripada dua kelab ni," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Tangkap layar komen netizen berhubung isu anak jati Kedah.
Sementara itu, Muin Muin berkata, anak jati perlu dilahirkan dari bawah kerana pembangunan kelab dari utara itu dianggap serabut selain tiada perancangan.
Katanya, Kedah merupakan pasukan pertama yang menghasilkan bakat muda hasil dari arwah Datuk Ahmad Basri Akil iaitu bekas Pengurus Pasukan Bolasepak Negeri Kedah.
"Sekarang dah malap. Harap adalah balik usaha ke arah itu. Lahirkan pemain berkualiti barulah padu.
"Kalau lahir anak jati main pun hampeh. Tak payahlah. Beli ja player luar bagus-bagus," katanya.
Pada masa sama, Myrul Manan berkata, pasukan itu tidak boleh melangsungkan perlawanan sekiranya tiada pemain import melainkan semua pasukan lain berbuat perkara sama.
Namun, katanya, pemain import yang perlu ditampilkan perlulah yang membuat persembahan baik dalam perlawanan.
"Contoh import yang okay (adalah) penyerang Selangor, rajin," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram