'TMJ antara sebab kelab Malaysia tak boleh capai level JDT'


  • Podium
  • Rabu, 04 Mei 2022

Reaksi TMJ ketika JDT berjaya melangkah ke peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara AFC buat kali pertama pada Sabtu. — Facebook/HRH Crown Prince of Johor

KEJAYAAN Johor Darul Takzim dalam arena bola sepak tempatan dan antarabangsa sememangnya menjadi inspirasi kepada banyak pihak sama ada di dalam atau luar negara.

Kejayaan melangkah ke peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara AFC buat kali pertama pada Sabtu mengetepikan gergasi-gergasi Asia lain berjaya melonjakkan lagi 'saham' Harimau Selatan di peringkat antarabangsa.

Seorang peminat JDT, Ijam MK berkata, kejayaan yang dicapai oleh JDT pada masa kini tidak akan berlaku tanpa pengorbanan pemiliknya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Dia kagum dan bangga dengan usaha yang dilakukan Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu yang sanggup bersusah payah membangunkan bola sepak Johor, walaupun berdepan pelbagai cabaran.

"Insan yang boleh duduk bersantai dalam istana, hidup senang lenang dan tak payah fikirkan masalah dan masa depan bola sepak negara.

"Tetapi, baginda sanggup pikul walaupun seberat mana beban yang terpaksa ditanggung. Baginda dicaci, dimaki, ditertawakan dan dikutuk dengan bermacam-macam bahasa yang kesat.

"Segala cita-cita dan visinya untuk JDT sering diperkecilkan sesetengah pihak... tetapi baginda tetap di sini, inilah TMJ kita... seorang yang tak pernah kenal erti putus asa demi kegemilangan JDT dan demi maruah bola sepak Johor," katanya.

Perkara itu turut disokong oleh netizen lain yang menyifatkan bahawa usaha dan visi Tunku Ismail berjaya membuka mata dunia tentang bola sepak di negara ini.

"TMJ telah mewarnakan bola sepak kembali di Malaysia padahal saya bukan peminat bola sepak (tetapi) telah mula dapat keseronokan menyaksikan permainan bola sepak disebabkan usaha TMJ," kata Ari Ba.

"Cintanya kepada bola sepak membawa semangatnya untuk mengubah JDT daripada kelab kerdil kini disegani di Asia... malahan dunia sedang bercerita tentang JDT, bagaimana setiap tahun JDT meraih kemenangan demi kemenangan hanya dalam masa sembilan tahun," kata Bunga Orked.

Untuk rekod, Tunku Ismail melakukan rombakan besar-besaran terhadap pasukan Johor FC pada tahun 2013 bagi mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak Johor.

Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda adalah mengubah nama pasukan tersebut kepada JDT dan setahun kemudian, kelab itu berjaya memenangi kejuaraan liga pertamanya dan mencatat rekod lapan kejuaraan berturut-turut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram