Kalau semua kelab tiru JDT, mesti dapat 'pukul' AFC


  • Podium
  • Selasa, 03 Mei 2022

Seorang penyokong KDA FC berpendapat, kelab itu harus menerapkan sistem kejurulatihan yang baik bagi untuk bersaing di peringkat Asia. — KDA FC

SELEPAS kejayaan Johor Darul Takzim (JDT) mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 pada Sabtu lalu, ramai pihak mula membuka mata terhadap kejayaan Harimau Selatan mengenepikan antara pasukan-pasukan terbaik Asia seperti Kawasaki Frontale dan Ulsan Hyundai.

Harapan juga turut diletakkan kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC dan KL City FC untuk mengambil inspirasi daripada JDT apabila beraksi dalam saingan Piala AFC yang akan bermula Jun depan.

Seorang peminat bola sepak tempatan, Pejuang Cita Cita berkata, kelab-kelab di negara ini harus mencontohi JDT dengan menerapkan sistem kejurulatihan yang baik bagi untuk bersaing di peringkat Asia seperti Harimau Selatan.

Katanya, daripada membeli pemain-pemain sedia ada yang tidak mendatangkan hasil, kelab tempatan harus memfokuskan kepada sistem kejurulatihan yang baik supaya dapat membentuk para pemain dengan sendiri.

"Rombak dan move on dengan sistem kejurulatihan yang ada masa kini, perlu sedar diri. Hakikatnya, Malaysia sangat lemah dari aspek kejurulatihan yang pakar," katanya dalam satu hantaran Facebook.

Hantarannya itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen, yang rata-ratanya berpendapat bahawa perkara itu memerlukan wang untuk direalisasikan.

"Apa perkara yang nak buat mesti ada bajet... kalau bajet tak ada, pakar macam boleh angan-angan saja," kata Matnor Matnor.

"Semua kelab di Malaysia mempunyai sistem pengurusan yang kurang baik kecuali JDT. Kewangan yang melemahkan segala-galanya. Ayuh semua kelab cari bajet yang banyak untuk membangunkan bola sepak supaya setanding JDT," ujar Saad Yahya.

"Ada duit dan seorang yang boleh pimpin pengurusan dengan baik, contohnya TMJ dan Madam Pang di skuad kebangsaan Thailand," kata Muhammad Nadzri.

KDA FC diundi dalam Kumpulan G bersama Bali United daripada Indonesia, Kaya FC (Filipina) dan Visakha FC (Kemboja).

Sementara itu, KL City FC pula berdepan cabaran Tampines Rovers daripada Singpura dan PSM Makassar (Indonesia) dalam Kumpulan H selepas wakil Myanmar, Shan United menarik diri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram