Kehadiran Laine dipertikai, FAM tiada senarai menunggu?


  • Podium
  • Rabu, 27 Apr 2022

Kehadiran Laine memperkuatkan Harimau Muda mengejutkan para peminat bola sepak tempatan. — Facebook/FAM

KETUA jurulatih skuad bola sepak kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23), Brad Maloney membuat kejutan memanggil pemain kacukan Finland-Malaysia, Nooa Laine menyertai kem latihan pusat Harimau Muda pada Selasa.

Pemain berusia 19 tahun itu bermain di posisi tengah menyerang dan sedang beraksi bersama kelab Liga Divisyen 1 Finland, SJK Seinajoki.

Laine dianggap sebagai salah seorang pemain berbakat besar di liga divisyen atas Finland musim ini.

Namun, tindakan Maloney memanggil Laine mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan peminat.

"Kiranya yang tak ada dalam senarai pun dapat 'call up'?

"Kenapa media FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) ini tak pandai nak tulis butiran ya?

"Betullah TMJ (Tengku Mahkota Johor) cakap media FAM tak telus dan tak jelas," dakwa pengguna Facebook, Syafiq Zamri di ruangan komen laman media sosial berkenaan.

Harimau Muda dalam persiapan menyertai Sukan SEA di Hanoi pada Mei. — Facebook FAM

Maloney berdepan kesukaran menjelang persiapan ke Sukan SEA di Hanoi, Vietnam pada Mei apabila rata-rata pemain yang tersenarai tidak dapat hadir pada sesi awal kem latihan pusat baru-baru ini.

Malah, ada pasukan tidak dapat melepaskan kesemua pemainnya menyertai Harimau Muda.

Ujar seorang lagi pengguna Facebook, Khaineyusri Khairuddin, sepatutnya FAM sudah ada senarai pemain yang menunggu untuk dipanggil sekiranya berlaku masalah sedemikian.

"Apa guna kita ada liga belia B-19 dan Piala Presiden B-21 andai tiada scouting yang memantau prestasi para pemain selama ini?" dakwanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram