MFL rombak aksi Liga Super & Piala FA, ketahui pasukan mana yang terlibat


  • Podium
  • Jumaat, 22 Apr 2022

PINDAAN aksi Liga Super dan Piala FA itu diumumkan MFL pada Jumaat.

MALAYSIAN Football League (MFL) mengumumkan jadual perlawanan Liga Super membabitkan perlawanan ketujuh sehingga ke-10 musim ini bakal dipinda bagi memberikan laluan kepada persiapan skuad senior kebangsaan dan skuad bawah 23 tahun (B-23) yang akan mengharungi kejohanan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pengurusan skuad kebangsaan dan B-23 serta pihak pengurusan kelab-kelab berkaitan sebelum penetapan tarikh baharu kalendar pertandingan MFL yang tertakluk kepada tarikh perlawanan peringkat antarabangsa oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF).

Jelas Stuart, sebanyak enam perlawanan Liga Super akan dipinda yang mana ia adalah penyelarasan di antara FAM dan MFL berkaitan agenda pasukan kebangsaan B-23 yang bakal menyertai latihan pusat dan Sukan SEA 2022, Hanoi, Vietnam bermula 30 April 2022 sehingga 23 Mei 2022.

“Merujuk kepada perbincangan MFL dan FAM sebelum ini, pasukan senior kebangsaan dan skuad B-23 masing-masing akan menjalani latihan pusat bagi menghadapi kejohanan antarabangsa seperti pasukan kebangsaan akan menyertai latihan pusat bermula 19 Mei 2022 sehingga 29 Mei 2022.

“Sementara skuad B-23 akan menjalani latihan pusat sebagai persiapan kepada kejohanan Sukan SEA 2022 Hanoi, Vietnam bermula 30 April 2022 sehingga 11 Mei 2022 dan kejohanan Piala AFC B-23 Uzbekistan bermula 24 Mei 2022 sehingga 31 Mei 2022.

“Pindaan perlawanan Liga Super ini penting kerana ia berkaitan dengan agenda kebangsaan dan saya juga merakamkan penghargaan kepada setiap kelab yang memberi kerjasama dan persetujuan menyempurnakan pindaan ini dengan meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan rasmi pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, Stuart juga memaklumkan pindaan keseluruhan perlawanan minggu ke-10 juga dirancang setelah Malaysia diberi peluang menjadi tuan rumah kepada pusingan kelayakan Piala Asia yang diumumkan baru baru ini dan dengan ketiadaan perjalanan dan kuarantin pasukan kebangsaan di dalam fasa endemik ini, MFL dapat memberi tambahan hari untuk latihan pusat pasukan Kim Pan-gon sebelum aksi penting bulan Mei dan Jun ini.

“Pindaan keseluruhan perlawanan minggu ke-10 Liga Super 2022 juga menjadi sebahagian dalam penyelarasan di antara FAM dan MFL.

“Kita mahu memberikan peluang kepada pasukan kebangsaan menjalani latihan pusat bermula 19 Mei 2022 bagi menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium National Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula 8 Jun 2022.

“MFL juga ingin memaklumkan bahawa pindaan jadual seterusnya mungkin terpaksa dilakukan dengan mengambil kira kelayakan ke peringkat seterusnya (pusingan kalah mati) oleh mana-mana kelab Liga Malaysia iaitu Johor Darul Takzim (JDT), Kedah Darul Aman FC dan Kuala Lumpur City FC di dalam pertandingan anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC),” katanya.

Sementara itu, Stuart turut menjelaskan bahawa perlawanan pusingan kedua Piala FA melibatkan pasukan-pasukan yang terlibat juga bakal dipinda sebelum diumumkan pada minggu depan.

Lihat jadual terkini Liga Super 2022 di sini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram