Jaami Qureshi beraksi untuk negara? 'Ramai lagi bakat tempatan lebih bagus'


  • Podium
  • Rabu, 27 Apr 2022

Jaami Qureshi kini sedang menjalani ujian bersama skuad Qardiff City.

BOLA sepak negara cukup gemar dengan pemain berdarah kacukan yang beraksi di luar negara sejak muda. Alasannya adalah disebabkan pengalaman beraksi di kelab muda luar negara.

Namun berbeza pula dengan pemain muda Jaami Qureshi yang berdarah kacukan Iraq-Malaysia yang berpangkalan di England dan kini dikhabarkan akan menjalani ujian untuk beraksi bersama Cardiff City.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak 2020 lagi sudah berhajat untuk mengambil Jaami beraksi bersama skuad kebangsaan Bawah 19.

Namun perkara itu tidak terjadi disebabkan kedua-dua pihak iaitu FAM dan bapa Jaami, Perviz Qureshi gagal mencapai kata sepakat kerana bapanya ingin anaknya diberi taraf kerakyatan tanpa melalui proses penilaian teknikal.

Bakal diuji bersama Cardiff City, ada pihak yang cuba mencadangkan supaya Jaami dapat dibawa bermain untuk Malaysia apatah lagi pemilik Cardiff City adalah ahli perniagaan terkenal negara, Vincent Tan.

Jaami-Qureshi-Brighton

Jaami Qureshi kini sedang menjalani ujian bersama Qardiff City.

Namun, tinjauan Majoriti di media sosial mendapati terdapat peminat bola sepak tempatan nampaknya seperti sudah tawar hati untuk mendapatkan khidmat Jaami untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.

Seorang warganet, Akmal Hafiz berkata, pemain muda tempatan banyak yang lebih bagus daripada Jaami.

"Pemain tempatan kita macam Akhyar, Arif Aiman, main lebih bagus daripada Jaami ini. Main di Eropah tak semestinya bagus.

"Sudah-sudahlah fokus nak ambil pemain luar. Fokus kepada pembangunan pemain-pemain muda tempatan seperti yang dilakukan Vietnam dan Thailand," katanya.

brendangan

Brendan Gan antara pemain berdarah kacukan yang beraksi di liga Australia sebelum mewakili skuad kebangsaan.

Namun, ada juga yang bersetuju jika penilaian dilakukan kerana pengalaman bermain di luar negara termasuk Liga Premier England (EPL) sebenarnya jauh lebih baik berbanding beraksi dalam liga tempatan.

"Belum tengok dia main lagi dah kata tak bagus. Tahap di Eropah jauh lebih bagus. Safawi nak bermain di liga bawah 23 Portugal pun alami kesukaran," kata Iskandar Zulqarnain.

Leron Jannata pula berkata, tahap pemain tempatan tidak boleh disamakan dengan pemain berusia muda yang beraksi di Eropah.

"Kalau Akhyar dengan Arif Aiman main di Eropah bolehlah dibandingkan dengan Jaami. Main liga lebih bagus menjadikan seseorang pemain itu lebih bagus," katanya.

Untuk rekod, negara pernah beberapa kali menggunakan khidmat pemain berdarah kacukan yang bermain di luar negara untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.

Antaranya ialah Junior Eldstal, Tam Sheang Tshung, Brendan Gan, Wan Kuzain Wan Kamal dan Sean Gan Giannelli. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram