'Kalau pergi Sukan SEA sekadar nak jadi pelancong, baik tak payah hantar skuad'


  • Podium
  • Jumaat, 22 Apr 2022

Sebahagian pemain skuad Sukan SEA negara yang hadir pada sesi latihan pertama di Wisma FAM, Kelana Jaya. — FAM

WALAUPUN sudah hampir seminggu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai 31 pemain ke Kem Latihan Pusat Skuad B-23 Kebangsaan Menjelang Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam, sebilangan penyokong masih lagi membincangkan mengenai pemilihan pemain yang terpilih.

Di Facebook, sebilangan penyokong Harimau Malaya meluahkan rasa tidak puas hati dengan senarai skuad negara selepas melihat negara-negara jiran seperti Singapura yang membariskan pemain-pemain utama mereka.

Antara nama-nama yang bakal menguatkan skuad kebangsaan Singapura pada Sukan SEA akan datang ialah dua adik beradik, Ikhsan dan Irfan Fandi, yang menewaskan skuad utama negara ketika perlawanan persahabatan antarabangsa Mac lalu.

Tambahan pula, ramai yang kecewa dengan persediaan anak buah Brad Maloney selepas melihat hanya lima orang pemain menghadiri sesi latihan hari pertama skuad tersebut kerana yang lain masih terikat dengan kelab masing-masing.

Sebahagian penyokong Harimau Malaya sudah muak dengan alasan 'pendedahan' dan 'ambil pengalaman' yang sering diberikan apabila skuad negara menampilkan aksi buruk dalam kejohanan itu.

"Hancur harapan, sudah tiba masanya Brad Maloney letak jawatan sekiranya skuad negara gagal layak ke semi final bola sepak Sukan SEA tahun ini. Penganjur benarkan bawa sekurang-kurangnya tiga orang pemain senior. Ini nak ambil risiko pemain B-23 semua.

"Jangan bila kalah nanti kata pendedahan pula. Sama saja (dengan) Piala AFF tahun lalu... negara lain boleh bawa 30 pemain kita bawa 24 pemain," kata Ramkhiz Ozil.

"Kata orang, pingat emas bola sepak adalah ibu segala pingat. Kita perlu hantar skuad terkuat ke Sukan SEA. Kita dah habis berjuta untuk buat persiapan, takkan kita pergi hanya sekadar jadi pelancong saja. Dengan skuad cincai, baik tak payah hantar... bazir duit.

"Bila nak pergi, kita letak sasaran menang pingat supaya perbelanjaan habis berjuta tetapi berbaloi apabila kita menang pingat," kata Aril Adrill pula.

278612805_679861606420412_725915792452483515_n

Senarai 31 pemain yang terpilih ke Kem Latihan Pusat Skuad B-23 Kebangsaan menjelang Sukan SEA 2021 di Vietnam.

Namun, ada juga sebilangan penyokong yang tidak bersetuju dengan perkara itu dan menganggap Sukan SEA sebagai pentas pendedahan buat bakat-bakat baharu negara.

Kata mereka, menjuarai acara bola sepak Sukan SEA tidak seharusnya menjadi keutamaan, sebaliknya harus memberi fokus kepada kejohanan yang lebih besar seperti Sukan Asia.

"Apa benda yang kau besarkan emas Sukan SEA ni? Kalau Sukan Asia tu lainlah. Patutnya masa Sukan SEA inilah pakai player yang jarang main skuad negara. Sukan SEA ini sukan pendedahan saja. Kau nak bangga setara mana? Level mana mentaliti ni?" soal Ali Abu Hassan.

"Sukan SEA saja pun bukan kejohanan besar... tak payah nak ikut sangat rentak team negara lain. Macam mana kita nak maju kalau tak beri kepercayaan kepada pemain muda.

"Indonesia rileks saja letak pemain muda untuk harungi kelayakan Piala Dunia... dan hasilnya mereka berjaya kalahkan kita dan ke semi final Piala AFF Suzuki. Ini saja platform yang sesuai untuk ketengahkan lebih ramai pemain muda. Sampai bila asyik nak gunakan pemain yang sama? Pengalaman tu penting. So rileks saja, kalah menang tu adat," ujar Ateeqaz Adriana.

Pada temasya Sukan SEA kali ini, Malaysia diundi dalam kumpulan B bersama Thailand, Kemboja, Singapura dan juga Laos.

Pada edisi 2019 yang berlangsung di Filipina, Malaysia yang ketika itu dibimbing Datuk Ong Kim Swee gagal melepasi peringkat kumpulan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram