Selepas tewaskan United, penyokong Liverpool kongsi pengalaman berbuka puasa dan solat di Anfield


  • Podium
  • Selasa, 26 Apr 2022

Pemandangan di luar stadium ketika penyokong Liverpool tiba di Anfield sebelum sepak mula aksi berdepan Manchester United minggu lepas. — Agensi

KEMENANGAN 4-0 Liverpool ke atas Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada 20 April lalu merupakan malam yang membahagiakan bagi semua penyokong fanatik The Reds.

Salah seorang peminat Liverpool FC, Rahat Chowdhury turut berkongsi di Twitter tentang pengalaman hebatnya dalam perlawanan di Anfield, Liverpool, England apabila dia berbuka puasa dan menunaikan solat.

“Saya berpuasa ketika saya pergi ke Anfield dan selepas berbuka puasa saya memerlukan tempat untuk solat. Saya bertanya kepada kakitangan di stadium mengenai tempat solat dan mereka bukan sahaja mengiringi saya ke surau, malah mereka menunggu saya selesai supaya boleh dibenarkan masuk semula ke stadium.

“Saya tidak pernah bertemu dengan kakitangan yang membantu dan menghormati seperti ini dan bagi saya mereka harus dihargai terutamanya apabila sikap mereka yang menghormati agama. Salah satu nama kakitangan itu ialah Sharon dan nombor pelayannya ialah 738 di Anfield. @LFCHelp @LFC Saya harap anda melihat ini dan mengambil kira kebaikannya," ciapnya di Twitter.

Untuk rekod, Chowdhury kerap menghadiri perlawanan Liverpool di Anfield dari tempat tinggalnya di Luton.

Bercakap kepada portal Echo, beliau menjelaskan: “Sebagai seorang Muslim kami solat lima waktu sehari dan sekarang ini Ramadan. Ramai pemain seperti Salah dan Mane juga berpuasa. Saya pergi ke Anfield dan berjumpa dengan kawan saya. Saya membawa makanan masuk dalam stadium untuk berbuka puasa dan ketika Liverpool mendahului 2-0, kami terus sahaja berbuka puasa kerana sudah masuk waktu.

“Untuk solat, saya biasanya mempunyai sejadah mudah-alih atau hanya menggunakan jaket. Saya turut menggunakan kompas pada telefon untuk mencari kiblat. Saya pergi bertanya kepada kakitangan stadium untuk mengetahui ada cara lainkah untuk menunaikan solat.

"Saya menghargai ruang solat ada di luar stadium dan umum mengetahui apabila sudah berada luar dari stadium, susah untuk masuk semula. Jadi mereka berkata untuk memberi satu minit. Sharon datang dan dia membawa saya ke surau dengan sangat baik dan mesra. Dia menunggu saya untuk solat dan kemudian membawa saya kembali ke tempat duduk,” jelasnya.

Bagi Chowdhury, setelah menghadiri beberapa perlawanan musim ini di tempat lain, pengalaman di Liverpool adalah yang terbaik.

"Saya pernah datang ke beberapa perlawanan melibatkan Arsenal, West Ham dan Luton Town dan juga Wembley. Tiada siapa yang bertolak ansur seperti Liverpool.

"Ia 100% meningkatkan rasa cinta saya kepada kelab. Ia adalah kelab berasaskan komuniti dan mereka sebenarnya mengambil berat tentang peminat. Mereka menjadikannya lebih istimewa," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram