Trucha sengaja 'tumbangkan' Penang FC? Penyokong mahu jawapan


  • Podium
  • Ahad, 24 Apr 2022

TERDAPAT tuduhan yang mengatakan Trucha mensabotaj skuad sendiri dengan meletakkan pemain yang bagus di bangku simpanan. — Facebook

SELEPAS kekalahan Penang FC kepada skuad Sri Pahang dalam saingan Liga Super pada Sabtu, penyokong Penang Panthers nampaknya mendesak supaya Ketua Jurulatih skuad itu, Tomas Trucha disingkirkan.

Kelab Penyokong Penang FC, Penang Brotherhood menerusi satu hantaran Facebook mendakwa Trucha kononnya sengaja menjatuhkan skuad itu untuk dipecat atau direhatkan bagi mendapat pampasan.

"Ada satu teori yang boleh kita gambarkan yang Trucha ini sengaja jatuhkan Penang FC. Berat tuduhan ni kan?

"Tapi jika kita terus korek ada benar tuduhan ni bila mana dikatakan pemain hanya berlatih dua di padang dan berlatih taktikal selama 10 minit.

"Masa training (latihan) juga diajar lain dan masa perlawanan bermain juga cara lain sehingga pemain menjadi buntu. Perkara ni diakui sendiri oleh pemain.

"Tak nampak bukan, tapi inilah cara halus yang kemungkinan berlaku. PFC harus segera menyiasat dakwaan ini," katanya pada Ahad.

Selain itu, kata Penang Brotherhood, ada tuduhan yang mengatakan Trucha meletakkan pemain yang bagus di bangku simpanan.

"Perkara ini jelas dapat kita lihat di mana Trucha merehatkan Daniel Ashraf yang menunjukkan prestasi baik tetapi direhatkan pada perlawanan seterusnya.

"Jadi apa PFC perlu buat? Memberi kata dua kepada Trucha atau mendapatkan keputusan menang-menang supaya tiada harga tinggi yang patut kita bayar," katanya.

Kelab penyokong itu berpendapat, Penang FC perlu menyiasat tuduhan yang dilemparkan kepada Trucha dengan mendengar sendiri dari pemain untuk membuktikan jika ada tindakan Trucha yang tidak betul.

279176545_410659394220200_2080481619492537585_n

Pemain Penang FC mempamerkan aksi longlai semasa pertemuan dengan Sri Pahang baru-baru ini. — Facebook

Menurutnya, tindakan mengantikan Trucha dengan Chong Yee Fatt bukanlah tindakan terbaik, tetapi itulah solusi yang PFC ada di dalam perancangan mereka.

Sebelum ini, Penang FC dalam satu kenyataan telah secara umum memberitahu pelantikan Yee Fatt sebagai jurulatih pengganti andai Trucha direhatkan atau dipecat.

"Perkara ini melegakan penyokong yang gusar dengan pelantikanYee Fatt selaku jurulatih utama. Tapi adakah ini mengembirakan Trucha? Tidak bukan, ia pasti mengusarkan hang yang tahu ada orang yang standby nak ambil jawatan hang," katanya.

Penang FC dalam satu sesi bersama penyokong sebelum ini juga telah terlalu awal mengumumkan pelantikan Manzoor Azwira sebagai ketua jurulatih pada tahun 2023. Perkara itu mengembirakan penyokong tetapi dari sisi lain ini bukanlah perkara yang gembira bagi seorang jurulatih utama.

"Adakah hang gembira apabila hang tau, hang akan dipecat atau dibuang pada tahun hadapan?

"Tidak, walaupun profesional mana pun hang, pasti hang rasa tergugat, malah boleh nampak muka (Trucha) ketat pada hari tersebut," katanya.

Katanya lagi, sudah pasti kini PFC juga berada dalam dilema tatkala Manzoor masih memerlukan masa tetapi tindakan segera perlu diambil tatkala emosi dan prestasi pemain pasti akan runtuh dengan keadaan semasa pasukan.

"Seperti diketahui Trucha mempunyai pandangan berbeza dengan pembantu beliau. Isu ini terjadi ketika kejohanan Piala Malaysia 2021 sehinggakan pasukan ketika itu hancur walaupun mempunyai pemain terbaik.

"Ramai mula pelik dengan keadaan ketika itu, tetapi tidaklah pelik bagi pengurusan yang batu mengendalikan bola sepak. Situasi dingin ini sendiri diluahkan pemain pada tahun lepas tapi sayangnya tiada tindakan diambil yang membuatkan pemain sendiri angkat kaki," katanya.

Tambahnya, turun naik pasukan adalah perkara biasa bagi Penyokong Penang FC tetapi barah dan pengkhianatan tidak pernah dilupakan.

"Dah lama tak tekan butang panik, rasanya masa sudah tiba," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram