SRI Pahang sekali kempunan mencatatkan kemenangan pertama dalam liga selepas tewas 2-1 kepada Melaka United dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur pada Sabtu.
Permulaan buruk yang dicatat anak buah Christophe Gamel itu mendapat perhatian bekas penyerang import kelab itu, Dickson Nwakaeme yang mempersoalkan polisi pembelian pemain import.
Pemain yang berasal dari Nigeria itu berpendapat bahawa Sri Pahang membawa masuk pemain import yang tidak sesuai dengan Liga Malaysia.
"Anda perlu menandatangani pemain yang sesuai untuk Liga Malaysia. Bukan semua pemain boleh bermain dengan bagus dalam liga ini. Pihak pengurusan sepatutnya tahu perkara ini. Saya telah mengatakannya berkali-kali. Sungguh sedih melihat pasukan ini tewas," kata Nwakaeme di ruangan komen Instagram Sri Pahang.
Musim ini, Sri Pahang membariskan lima pemain import iaitu Billy Ketkeophomphone, Mahmoud Za'tara, Johan Martial, Mamadou Samassa dan Manuel Hidalgo.
Seorang penyokong Sri Pahang kemudian membalas komen Dickson dengan memintanya mencadangkan pemain yang sesuai buat pasukan itu.
Nwakaeme kemudian menjawab: "Mereka tak dengar. Walaupun selepas mengadakan pertemuan bersama."
Nwakaeme ketika beraksi untuk Pahang pada 2020.
Beliau pernah mewakili Pahang pada tahun 2014 dan 2015 sebelum berhijrah ke kelab Perancis, Angers sehingga tahun 2017. Nwakaeme kembali semula bersama Pahang pada tahun 2019 dan 2020.
Sepanjang beraksi bersama Pahang, beliau menjaringkan 23 gol dalam 59 perlawanan dan pernah membantu kelab itu merangkul Piala FA dan Piala Malaysia pada tahun 2014 dan Piala Sumbangsih pada 2015.
Pada perlawanan liga pada Sabtu, Sri Pahang terlebih dahulu mendahului permainan seawal minit keempat menerusi jaringan Za'tara.
Namun, Melaka United bangkit pada separuh masa kedua dengan gol penyamaan pada minit ke-51 oleh Emmanuel Essigba sebelum Mohamad Hasbullah Abu Bakar memastikan pelawat pulang dengan tiga mata penuh dengan jaringan pada minit ke-70.
Sri Pahang kini berada di tangga kesepuluh liga dengan hanya satu mata daripada tiga perlawanan dan anak buah Gamel bakal melayan kunjungan Penang FC Sabtu depan dalam aksi Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram