KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini mengumumkan bahawa sejumlah 5.3 juta permohonan di bawah kemudahan Pengeluaran Khas telah diterima setakat jam 8 malam, 14 April 2022.
Selain itu, pembayaran akan dibuat secara berperingkat dengan pembayaran pertama bermula pada 20 April ini.
"Jumlah permohonan yang diterima merangkumi 44 peratus daripada 11.95 juta ahli yang layak untuk membuat pengeluaran di bawah kemudahan ini.
"Dipecahkan mengikut pengkelasan gaji, ia mewakili 55 peratus ahli B40 yang layak (yang berpendapatan kurang daripada RM1,700), 59 peratus ahli M40 (RM1,701 - RM4,900) dan 39 peratus ahli T20 (berpendapatan melebihi RM4,900),” katanya sambil menambah sebanyak 29 peratus ahli tidak formal dan tidak aktif juga telah memohon.
Mengulas mengenai ahli M40 yang mempunyai kadar tertinggi yang layak membuat pengeluaran khas itu, Ir Abdul Rahman Bahasa berkata, kumpulan itu disifatkan sesak dari segi kewangan pada setiap masa.
Hal ini kerana, katanya, kebanyakan golongan M40 bekerja sebagai profesional yang kebanyakannya ditempatkan di bandar.
Katanya, apabila seseorang bekerja di kawasan bandar, kos sara hidup sudah tentu tidak murah.
"Orang kata, okaylah tu combine (gabung) gaji laki bini (suami isteri) dekat RM5,000. Nak apa lagi?Ada betulnya kenyataan itu, tapi tidak okay kalau hidup di bandar.
"Dah duduk di bandar, takkan nak duduk bawah jambatan? Ada family kot. Kena juga ada rumah. Nak beli rumah di bandar? Kirim salamlah. Rumah PPR rate sewanya lebih RM1,000. Jadi, sewa nak bayar.
"Belanja makan? Tak payahlah aku ulas benda ni. Semua tahu apa yang jadi sekarang. RM50 tu aduhai.. suku troli pun tak dapat. Dah sewa rumah nak bayar, makan pun mahal, terpaksalah kerja laki bini (suami isteri)," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Kos penjagaan seorang kanak-kanak yang dihantar kepada pengasuh boleh mencecah RM350 sebulan.
Tambahnya, apabila kedua-dua suami dan isteri bekerja, maka anak mereka terpaksa dihantar kepada pengasuh yang mana secara umum, harga penjagaan seorang bayi adalah sebanyak RM400 sebulan manakala kanak-kanak berusia 3 hingga 5 tahun dengan kadar RM350 sebulan.
Selain itu, sekiranya suami dan isteri perlu bekerja pada hari Ahad atau cuti umum, harga penjagaan anak yang dihantar kepada pengasuh boleh mencecah RM40 sehari.
Bukan itu sahaja, Abdul Rahman berkata, golongan itu tidak layak untuk memohon tadika kemas, sebaliknya terpaksa menghantar anak-anak mereka ke tadika swasta.
"Alamak tuan...dia punya yuran pendaftaran pun macam hantar anak ke universiti. Beribu-ribu nak kena ada duit.
"Anak dah sekolah? M40 ni nama je ada kereta sendiri, tapi tak mampu nak hantar anak hari-hari.
"Sebab apa? Sebab kena kerja di pejabat. Pejabat pula jauh dari rumah. Nak lari ambil hantar anak sekolah memang tak sempat. Akhirnya kena cari van sekolah pula. Van sekolah je average (purata) RM120 sebulan.
"Tu belum kira lagi nak kena bayar pinjaman pelajaran, bil api, bil air, bil telefon, tol, minyak kereta semua," katanya.
Meskipun secara kasarnya M40 dilihat mempunyai pendapatan tinggi, namun hakikatnya, Abdul Rahman mengulangi pendiriannya bahawa, golongan itu disifatkan sesak dari segi kewangan.
Justeru, dia tidak hairan sekiranya peratus ahli KWSP yang berkategori M40 lebih ramai berbanding kategori B40 dalam membuat pengeluaran khas itu.
"Kurang-kurang bolehlah tampung apa yang tak cukup. Lagi-lagi dah nak raya ni.
"Hakikatnya hidup sekarang memang tak murah. Kalau tak pandai urus, memang parah. Fikir-fikirkanlah," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram