Rakyat nak bukti kematian pakai face mask tanpa cop Sirim, betul ke ada kaitan duit KWSP?


  • Tular
  • Jumaat, 08 Apr 2022

Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) pelitup muka bukan perubatan ditangguhkan kepada 1 Januari tahun hadapan.

BARU-BARU ini kecoh isu pelitup muka bukan perubatan perlu memohon perakuan dan penandaan Sirim yang penguatkuasaannya dilanjut dari 4 Julai kepada 1 Januari 2023 membuatkan ramai warganet meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial.

Lebih membuat pengguna media sosial bengang, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyata bagi sesiapa individu yang tidak mematuhi peraturan itu akan dikenakan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pelbagai pendapat yang dilontarkan oleh rakyat Malaysia berhubung perkara itu dan bagi pengguna Facebook, Wan Hussain Wan Zain pemimpin seakan tidak berfikir dengan sewarasnya untuk membuat keputusan itu.

Rakaman video luahan pengguna Facebook, Wan Hussain Wan Zain.

Malah, lelaki itu juga berkata, pemimpin membuat keputusan seperti hanya ingin menyebelahi pihak yang berkepentingan tanpa pengambil kira pendapat rakyat.

"Kenapalah pemikir-pemikir yang dibayar oleh rakyat ini buat keputusan hanya terlintas di fikiran, ikut sedap saja nak buat. Rasa mask kita tiada cop Sirim, tiba-tiba nak buat cop Sirim sebab nak kayakan sebelah pihak.

"Jika benarlah mask ini memberi kemudaratan kesihatan kepada rakyat, tunjukkan statistik. Berapa yang meninggal sebab pakai mask yang tiada cop Sirim. Berapa ramai yang sesak nafas sebab pakai mask tiada cop Sirim. Fakta sebegitu rupa yang perlu ditunjukkan kepada rakyat dan bukan denda RM100,000.

"Dan apabila kita nak buat keputusan, kaji betul-betul. Jangan hanya buat keputusan di meja aircond, tempat sejuk, empuk sofanya," katanya melalui video yang tular di Facebook.

Tambahnya, pemimpin yang ingin membuat keputusan perlulah meletakkan diri sebagai rakyat biasa dengan mengambil faktor kos yang perlu ditanggung jika cop Sirim pada pelitup muka dilaksanakan.

"Sudah tiga tahun pakai mask, kenapa baru bertindak? Adakah sebab rakyat dah dapat duit KWSP, jadi nak ambik duit itu? Janganlah buat begitu. Rakyat fikir begitu. Bila kau bagi duit, kau nak cekup duit rakyat. Kasihan rakyat. Bila rakyat bantah, tunda.

"Maksudnya, itu buat kerja sambil lewa. Jika mereka buat kerja betul, benda ini tidak akan tunda. Tahniah rakyat yang bersuara kerana kebijaksanaan anda," katanya

Dalam pada itu, turut tular video pelakon dan pengacara iaitu Jaafar Onn yang memberikan pandangannya berhubung pewartaan oleh KPDNHEP mengenai penggunaan pelitup muka dengan cop Sirim.

Menerusi video itu, Jaafar Onn seakan kurang setuju dengan pewartaan tersebut yang dianggap tidak sesuai diaplikasikan di Malaysia kerana kebanyakan rakyat Malaysia juga sedang bergelut dengan ekonomi.

"Saya nak bertanyalah, adakah patut nak pakai pelitup muka yang ada cop Sirim pula? Apalah? Benda ini menyusahkan orang. Selama ini tak pernah ada pun Sirim itu? Kenapa pula sekarang nak begitu?

"Saya rasa ini semua bisnes saja ini. Ingat orang Malaysia ini kaya rayakah? Asyik nak kenakan duit pada kita semua. Orang nak cari duit pun susahlah. Apa benda nak cop Sirim segala bagai?

"Selama ini tiga tahun tak pakai yang ada cop itu pun, tak ada apa. Mati lagi adalah," jelasnya.

Sebelum ini, pewartaan itu bertujuan memastikan pelitup muka bukan perubatan yang dihasilkan mahupun diimport mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan.

Bagaimanapun, Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) pelitup muka bukan perubatan yang sepatutnya dikuatkuasa pada 4 Julai depan telah ditangguhkan kepada 1 Januari tahun hadapan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram