SEBUAH kelab yang berpangkalan di Johor Bahru didakwa tidak membayar potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada seorang pereka grafik walaupun ditolak daripada jumlah gaji.
Perkara itu didedahkan oleh laman Instagram @malaysianpaygap yang menyiarkan luahan pereka grafik tersebut melalui satu mesej ringkas pada Khamis.
Akaun Instagram itu dicipta bagi memperjuangkan ketelusan gaji dan mendesak bayaran gaji yang lebih baik di negara ini.
Menurut pereka grafik berusia 30 tahun yang tidak mendedahkan identitinya itu, dia mula bekerja di kelab itu pada 2016 dengan gaji permulaan sebanyak RM2,800.
"Gaji saya dinaikkan ke RM3,500 pada 2018 hingga sekarang sampailah saya hantar notis. Gaji selalunya dibayar secara rawak mengikut keadaan 'big boss'. Biasanya 13 haribulan dan ke atas.
"Work life balance sangat teruk kerana saya perlu membawa komputer riba ke mana sahaja walaupun ke taman tema air atau pasar raya. Perlu bersiap sedia 24 jam sehari. Anda juga harus sentiasa bersedia untuk dihubungi," kata lelaki berkenaan yang mempunyai ijazah.
Katanya, perkara itu berlaku sejak 2019 sehingga sekarang, sehingga terdapat beberapa perkerja yang berdepan kesukaran untuk melakukan pinjaman.
Dia tidak mendedahkan nama kelab tersebut, tetapi berdasarkan mesej yang dikongsikan, tertera maklumat lokasinya bekerja iaitu di Johor Bahru selain tempoh dia bekerja selama enam tahun.
Di bawah Seksyen 43(2) Akta KWSP 1991, mana-mana majikan yang gagal membuat caruman pada atau sebelum 15 hari bulan setiap bulan hendaklah, apabila disabitkan, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.
Jika majikan melakukan potongan tetapi tidak membuat pembayaran ke akaun KWSP pekerja, majikan boleh dipenjara sehingga 6 tahun dan/atau didenda sehingga RM20,000 di bawah Seksyen 48(3) Akta KWSP jika didapati bersalah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram