SETIAP umat Islam perlu dikenakan bayaran zakat bagi setiap sen yang dikeluarkan melalui akaun simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Ustaz Azhar Idrus.
Namun, penceramah bebas itu berkata, zakat itu hanya dikenakan sekiranya akaun simpanan sudah cukup nisab iaitu dengan kiraan 85 gram emas atau lebih.
Tambahnya, sekiranya syarat itu mencukupi, maka kadar zakat yang perlu dibayar adalah sebanyak 2.5 peratus.
"Jadi, kalau kita bawa keluar RM1,000, kita perlu bayar sebanyak RM25. Kalau bawa keluar RM1 juta, kita kena bayar RM25,000," katanya menerusi perkongsian video di laman TikTok.
Jelasnya, pembayaran zakat itu perlu dilaksanakan setiap kali seseorang mengeluarkan wang daripada akaun KWSP.
"Contoh, minggu ni ambil RM1,000, mereka kena bayar (zakat) RM25.
"Kalau minggu depan RM1,000 lagi, kena lagi RM25. Setiap kali ambil kena 2.5 peratus dari jumlahnya," katanya.
Terdahulu, kerajaan bersetuju membenarkan pencarum KWSP membuat pengeluaran khas sebanyak RM10,000.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan hasil kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam kalangan rakyat yang masih terkesan dari segi ekonomi, kehilangan pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.
Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram