4 perkara positif buat Selangor selepas belasah Kedah


  • Podium
  • Isnin, 11 Apr 2022

Selangor memungut lima mata selepas tiga perlawanan liga musim ini. — Selangor FC

SELEPAS seri dua perlawanan berturut-turut dalam Liga Super, Selangor FC akhirnya berjaya mencatatkan kemenangan sulung musim ini apabila membelasah Kedah Darul Aman (KDA) FC 4-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad.

Dua gol daripada penyerang Brazil, Caion dan masing-masing satu gol daripada Mukhairi Ajmal dan Norhakim Hasan berjaya memastikan tuan rumah memungut tiga mata penuh untuk berada di tangga kelima liga selepas tiga perlawanan.

Kemenangan itu jelas mengukir senyuman di wajah peminat Selangor FC yang sudah lama dahagakan aksi mantap seperti itu.

Bintang Myanmar

Di media sosial, rata-rata penyokong menghamburkan kata-kata pujian terhadap persembahan cemerlang bintang muda Myanmar, Hein Htet Aung yang sentiasa mengkucar-kacirkan barisan pertahanan KDA FC.

Seorang penyokong, Muhammad Redhwan Amin berkata, Htet Aung berjaya membuktikan bahawa dirinya layak dikekalkan dalam kesebelasan utama skuad pada perlawanan seterusnya.

"Nampak dia punya impak... padu, rajin dan yang penting laju... banyak bagi tekanan pada Kedah... Ini baru betul taktikal yang hilang selama ini. Aung tu dah boleh serap terus dah ke Selangor FC," katanya.

277581705_389705433161191_7939657842769338530_n

Aksi Htet Aung ketika berdepan KDA FC pada Sabtu. — Selangor FC

Pemain berusia 20 tahun itu sebelum ini bermain untuk pasukan kedua Selangor FC yang beraksi di Liga Premier, Selangor FC II dan mempunyai tiga kap bersama skuad kebangsaan.

Pertahanan ampuh

Seorang lagi penyokong, Muhammad Shukri berpuas hati dengan gaya permainan yang ditampilkan pertahanan, Fazly Mazlan yang tenang dan konsisten.

"Tak tahu kenapa, tapi aku suka Fazly Mazlan punya defending style. Relax dan boleh senyum lagi dalam game. Sangat positif. Setakat ini Fazly punya persembahan sangat konsisten bagi aku," ujarnya.

Bek kiri itu berhijrah ke Selangor daripada Johor Darul Takzim musim ini secara percuma selepas kontraknya bersama juara bertahan itu tamat.

Penyudah tajam

Mohd Akram Al-Banjariy pula memuji semangat berpasukan yang ditonjolkan Caion yang tidak hanya menunggu bola di hadapan dan sering berlegar-legar di bahagian tengah padang.

"Rajin Caion ni... semangat teamwork tu tinggi... boleh assist boleh score...selalu turun kawasan tengah... taklah tercongok saja kat atas tunggu bola," katanya.

Selepas tiga perlawanan, pemain yang dibawa masuk daripada kelab Thailand, Muangkan United itu berjaya membuktikan kehebatannya apabila sudah mencetak lima gol dan dua bantuan gol.

277767228_389671489831252_3639959388282203669_n

Aksi Caion ketika berdepan KDA FC pada Sabtu. — Selangor FC

Corak pressing

Sementara itu, Haikal Akmal pula berpuas hati menonton gaya permainan 'pressing' yang ditonjolkan pengendali Selangor FC, Michael Feichtenbeiner dalam perlawanan itu.

"Gameplay pressing malam ni memang superb! Good job pemain muda Selangor Aung, Mukhairi, Agyarkwa dan pemain berpengalaman Baha Abdel-Rahman... Caion pun rajin malam ni," katanya.

Dalam perlawanan itu, Selangor FC menggunakan taktikal 4-1-3-2.

Seorang lagi penyokong, Amir Je berpendapat bahawa serangan Selangor agak perlahan selepas Mukhairi dikeluarkan pada separuh masa kedua.

"Boleh perbaiki lagi... Kena belajar menyerang tanpa Mukhairi. Nampak perlahan sikit bila dia keluar tadi," ujarnya.

Mukhairi membuka tirai jaringan pada minit ke-26 sebelum digantikan dengan Azrin Afiq pada minit ke-59.

Selepas ini, Selangor akan berdepan Terengganu FC di Stadium MBPJ pada perlawanan yang dijadualkan 22 April ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram