KEMELUT yang melanda Perak FC dijangka akan berakhir dalam masa terdekat selepas laporan mengatakan bahawa bakal pembeli bakal bertemu dengan pemilik kelab, Impact Media & Communication Sdn Bhd (IMC) untuk memeterai pengambilalihan tersebut.
Setelah beberapa kali tertangguh, IMC dilaporkan bakal menerima tawaran pengambilalihan tersebut tanpa proof of funds, seperti yang diminta pada peringkat awal.
Bagaimanapun, seorang penyokong The Bos Gaurus, Yoi Muzaffar, meluahkan pendapatnya bahawa tindakan IMC untuk meminta proof of funds pada awalnya adalah tepat.
Menurutnya, ia adalah penting untuk mengetahui keududukan kewangan bakal pembeli.
"Aku bukan nak back up IMC, tapi cara mereka betul. Mereka ditipu oleh Pafa (Persatuan Bola Sepak Perak) pasal hutang.
"IMC mampu bayar hutang yang Pafa cakap, tapi rupanya ade hutang lain yang Pafa tak cakap. IMC nak orang yang ambik alih pasukan Perak FC ni ade kewangan yang kukuh dan IMC sendiri jelaskan pada pemilik baharu tentang hutang-hutang yang ada," katanya dalam satu hantaran Facebook.
Tambahnya, jika kedudukan kewangan bakal pembeli tidak diketahui, masalah sama yang melanda kem Perak FC ketika ini mungkin berulang kembali.
"Jadi kalau IMC bagi pada pemilik baharu yang tak mampu bayar hutang, sama saja pusingannya. Sebab itu IMC dan MFL nak proof of funds, supaya mereka tahu kewangan pemilik baharu ini (sama ada) mampu atau tak untuk tanggung Perak FC.
"Kalau aku jadi IMC, baik aku jual saja pada sesiapa sebab aku dah tak nak fikir masalah yang bukan aku buat. Lantaklah deme yang bayar hutang tu," katanya.
Hantaran Facebook Yoi Muzaffar berkenaan pengambilalihan Perak FC tanpa proof of funds.
Perak FC dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, perbincangan lanjut mengenai pengambilalihan kelab tanpa proof of funds dijadualkan berlangsung pada 11 April ini.
Tambah kenyataan itu, MFL dijangka akan menolak pengambilalihan tersebut dan mengekalkan jadual sekatan sedia ada ke atas Perak FC.
Namun, jelasnya, perjanjian kekal tertakluk kepada perbincangan pada hari tersebut dan dijangka akan dimeterai sebelum 14 April 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram