BUKAN sahaja gagal mempertahankan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan pertama Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) FC menjadi mangsa belasahan selepas tewas 1-4 kepada Selangor FC.
Perlawanan yang diadakan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor pada Ahad menyaksikan gol tunggal Kedah dijaringkan oleh Fayadh Zulkifli pada minit akhir perlawanan.
Selangor pula mencatatkan empat gol menerusi jaringan Mukhairi Ajmal pada minit ke 26, Caion (35' dan 87') dan Mohd Norhakim pada minit ke 84.
Kekalahan pertama Kedah pada musim ini ternyata seperti sudah diramal susulan prestasi goyah yang ditunjukkan dalam tiga perlawanan sebelum ini terutamanya ketika menang tipis 1-0 menentang Sri Pahang FC pada Rabu.
Taktikal
Melihat kepada aksi longlai KDA FC pada Ahad, ramai yang berpendapat bahawa taktikal jurulatih, Aidil Sharin Sahak dan pemain import yang tidak beraksi dengan baik menjadi punca kekalahan.
Dalam perlawanan menentang Selangor, Kedah menggunakan taktikal 3-4-3 berbanding Selangor 4-1-3-2, dan secara kasarnya dapat dilihat kelebihan kepada skuad Red Giants untuk mengeksploitasi bahagian pertahanan Sang Kenari.
Taktikal 3-4-3 yang digunakan Kedah menentang Selangor.
Ini antara yang disuarakan penyokong Kedah, Syahrul Syah yang berpendapat formasi itu ada kepincangannya buat Kedah dari segi keampuhan pertahanan dan ketajaman penyudah.
"Formasi tiga pertahanan tengah (digunakan) di kala tengah (midfield) terumbang ambing dengan ketumpulan bahagian serangan.
"Penat pemain pertahanan menahan asakan serangan bertali arus, pemain tengah kena kerja keras dan penyerang tumpul," tulisnya dalam ruangan komen di Facebook rasmi, Kedah Darul Aman FC.
Scam import
Antara poin lain yang dibangkitkan penyokong Kedah adalah prestasi penyerang import, Wanja Ronald Ngah yang dilihat tidak mencapai reputasinya sebagai penjaring terbanyak Liga Jordan pada 2021.
Dengan usia 30 tahun, Ronald mempunyai fizikal yang baik untuk bersaing di Liga Malaysia tetapi tahap kecergasannya termasuk dari segi kelincahan menjadi kebimbangan penyokong.
Mana tidaknya, Ronald hanya menjaringkan satu gol dalam empat perlawanan setakat ini, sekali gus penyokong merasakan penyerang tempatan, Syafiq Ahmad diberi peluang menggalas tugas sebagai penjaring.
Syafiq yang dipinjamkan dari JDT, kini beraksi di bahagian sayap untuk membantu Ronald.
"Ronald perlu jadi pemain simpanan dulu, teruk permainan dia dari perlawanan mula sehingga kini. Bagi peluang kepada Syafiq Ahmad pula," tulis Muhamad Amiruddin.
Ronald ketika beraksi di Liga Jordan.
Penyokong Kedah merasakan kelab itu seperti 'tertipu' dengan pembelian pemain import yang dilihat tidak berbaloi, sama seperti yang berlaku kepada seorang lagi penyerang, Dennis Buschening yang terpaksa berehat enam bulan akibat kecederaan tendon.
Susunan pemain
Seorang lagi penyokong KDA FC, Stylo Killerx berkata, ketua jurulatih Aidil Sharin lebih rela menyimpan pemain yang layak bermain sekali gus mengganggu rentak permainan.
"Al Hafiz, Khairul Azrin dan banyak lagi pemain lain ada tetapi jurulatih selalu sayang sangat pada Amirul hisam. Penjaga gol pun ada Ifwat, tapi turunkan Ilham pula," katanya.
Seorang lagi penyokong KDA FC, Mohd Faizal juga menyatakan perkara sama berkenaan formasi yang ditampilkan jurulatih.
"Gila punya formasi tu. Kawan-kawan lain jenuh kena serangan mengejut. Sebelum ni nampak cantik tetapi malam ni memang berbeza. Kenapa Fadzrul Daniel tak dibawa turun?" katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram