Identiti pemilik baharu Perak FC terbongkar


  • Podium
  • Sabtu, 09 Apr 2022

PERAK FC dikenakan pemotongan sebanyak tiga mata pada 1 April lalu berikutan kegagalan membayar tunggakan gaji sebelum tarikh yang ditetapkan MFL. — Perak FC

KEMELUT kewangan yang melanda pasukan Liga Premier, Perak FC dijangka akan selesai dalam masa terdekat ini berikutan pemiliknya, Impact Media and Communications Sdn Bhd (IMC) mengumumkan bersetuju untuk melepaskan kelab itu kepada pemilik baharu.

Malah, terdapat sumber dalam kalangan penyokong The Bos Gaurus yang sudah mengetahui identiti bakal pembeli kelab mereka.

Menurut salah seorang penyokong The Bos Gaurus di Facebook, Silverstates Supporters Fan Club, pemilik baharu Perak itu dikatakan menjalankan perniagaan minyak dan gas.

"JR Resources & Services Sdn Bhd ambil alih, tunggu Isnin mesyuarat terakhir.

"Orang tak tau itu bukan syarikat sebenar sebab Datuk tu niaga minyak dan gas," dakwanya.

WhatsApp Image 2022-04-09 at 12.04.10 PM

Komen Silverstates Supporters Fan Club di Facebook berkenaan pemilik baharu Perak FC

Terdahulu, Perak FC dalam satu kenyataan pada Khamis mengumumkan bahawa pihaknya menerima surat penawaran susulan untuk pembelian dan pengambilalihan 100 peratus ekuiti Perak FC Sdn Bhd pada Khamis melalui wakil undang-undang IMC tanpa proof of funds.

Menurut kenyataan itu juga, IMC akan menerima baik tawaran itu dan akan memaklumkan Malaysian Football League (MFL) mengenai perkara tersebut bersama cadangan penyelesaian pada Jumaat.

Pada 1 April lalu, kelab itu dipotong tiga mata berikutan kegagalan membayar tunggakan gaji sebelum tarikh yang ditetapkan MFL dan sekiranya gagal melunaskan tunggakan berkenaan menjelang 14 April ini, tindakan pemotongan enam mata pula akan dilaksanakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram