‘Kalau ditewaskan UiTM, ia sebab kegagalan Kelantan sendiri’


  • Podium
  • Rabu, 23 Mac 2022

BELFORT (kiri) jadi taruhan Kelantan FC untuk membenam UiTM FC menjelang perlawanan ketiga Liga Premier pada Jumaat ini. — Bernama

KELANTAN FC memulakan kempen Liga Premier dengan bergaya apabila membenam Johor Darul Takzim (JDT) II dan Skuad Projek FAM-MSN.

Keputusan itu sekali gus membolehkan Kelantan menduduki tangga pertama dalam carta Liga Premier setakat ini.

Momentum positif itu tentunya ingin dikekalkan oleh The Red Warriors pada perlawanan ketiga menentang UiTM FC pada Jumaat.

Peminat Kelantan, Zuraimi Zukri menerusi Facebook berkata, Kelantan seharusnya tidak mempunyai masalah besar untuk menumbangkan UiTM ekoran beberapa masalah dihadapi pasukan itu pada pramusim.

"Persediaan pramusim UiTM berjalan dengan teruk, hampir menarik diri, bajet dikurangkan agak drastik dan tidak mampu memiliki pemain import.

"Pada perlawanan pertamanya, menentang Selangor ll, UiTM menampilkan pertahanan kompak. UiTM bermain secara bertahan dan cuba melakukan serangan balas.

"Namun mereka tidak mempunyai kepantasan dan kualiti larian untuk melakukannya.

"Kualiti bertahan UiTM cukup baik, Selangor hanya memperolehi satu jaringan hasil percubaan jarak jauh yang terbias terkena pemain lawan, kemudiannya menewaskan penjaga gol, Ramadhan Hamid," katanya.

Jelasnya lagi, Kelantan mempunyai kekuatan yang boleh digunakan untuk menewaskan pertahanan UiTM yang kompak.

"Kualiti tandukan yang dimiliki oleh pemain import, Nixon Guylherme dan Kervens Belfort mungkin berguna berbanding bermain bola lantai (hantaran rendah).

"Tiga pemain serangan dalam kotak penalti, Guylherme, Belfort dan Fadel Antar atau Nurshamil Abd Ghani sebagai penerima hantaran lintang dari barisan belakang.

"UiTM tidak mempunyai pertahanan yang mempunyai kualiti tandukan yang baik tetapi cukup kompak dalam kawasan sendiri

"UiTM juga selalu hilang penguasaan mudah dan 'poor throw-in' (hantaran ke dalam yang lemah).

"Kelantan ada kelebihan dalam banyak aspek. Selain dari menang, adalah satu kegagalan daripada Kelantan sendiri (jika ditewaskan UiTM)," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram