Zamsaham respons tuntutan gaji bekas pemain Kelantan FC — ‘Jangan kacau saya!’


  • Podium
  • Rabu, 16 Mac 2022

ZAMSAHAM minta Fauzi rujuk kepada KAFA. — Bernama

BEKAS pemain Kelantan FC, Fauzi Roslan sebelum ini memohon agar pihak pengurusan bola sepak pasukan itu menyelesaikan tunggakan gajinya sebanyak RM63,600.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Fauzi menerusi salah satu portal sukan tempatan, Kelantan masih belum membuat sebarang tindakan berhubung penyelesaian tunggakan berkenaan.

Fauzi menyatakan Kelantan memberi alasan pembayaran tunggakan gaji tidak dapat dibuat ekoran Covid-19.

Namun, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau dikenali sebagai Zamsaham menjelaskan segala tunggakan gaji sudah diselesaikan oleh pihaknya.

Jelas Zamsaham, sebarang tunggakan gaji diselesaikan ketika beliau mengambil alih pasukan The Red Warriors itu.

"Hutang ini adalah hutang warisan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga sudah dimaklumkan tentang hutang-hutang yang bukan dalam kontrak pengambilalihan adalah tanggungjawab pihak KAFA.

"Maka semuanya sudah diselesaikan ketika mesyuarat November 2021 bersama FAM dan KAFA juga sedia maklum akan hal tunggakan adalah kewajipan KAFA.

"Nama bekas pemain tiada dalam senarai RM6.8 juta, sila rujuk KAFA.

"Dah bayar semuakah? Alhamdullilah, semua hutang dalam perjanjian pengambilalihan RM6.8 juta saya dah selesai.

"Saya dah cakap berkali-kali dengan bukti, kita dah selesai bayar.

"Selepas selesai, barulah muncul macam-macam orang yang saya tak tahu, tak pernah jumpa nak tuntut bayaran tunggakan.

"Kalau saya bayar ini, nanti entah siapa-siapa lagi akan minta bayaran. Ini kerja gila!

"Buat masa ini, saya berada pada fasa kedua, iaitu bina pasukan.

"Fasa pertama, bayar hutang piutang warisan KAFA, saya dah selesai. Jadi, jangan kacau saya!" katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram