Barisan import Kelantan FC dituntut lebih tajam


  • Podium
  • Khamis, 17 Mac 2022

KELANTAN FC akan berkunjung ke Stadium KLFA Cheras, Kuala Lumpur menentang Skuad Projek FAM-MSN dalam saingan Liga Premier. — Facebook Kelantan FC

KETUA jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya menuntut jentera serangannya lebih agresif mencetak gol pada aksi Liga Premier menentang Skuad Projek FAM-MSN di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat.

Pengendali kelahiran Johor itu jelas kecewa terhadap barisan penyerang importnya apabila mensia-siakan banyak peluang semasa aksi kalah mati Piala FA menentang Petaling Jaya City (PJ City) pada Ahad lalu.

"Ketumpulan barisan serangan diketuai pemain import, Nixon Guylherme, Kervens Belfort dan Fadel Antar amat terserlah apabila gagal menyudahkan banyak peluang terhidang ketika menentang PJ City.

"Oleh itu, untuk perlawanan esok (Jumaat), saya mahu mereka lebih agresif apabila berdepan pasukan lawan yang dibarisi pemain muda,” katanya ketika dihubungi pada Khamis

Pada aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Selangor pada Ahad lalu, Kelantan FC tumpas 1-2 kepada PJ City.

Sementara itu, skuad Kelantan United FC (KUFC) kehilangan khidmat empat pemain selepas mereka disahkan positif Covid-19 menjelang aksi Liga Premier menentang JDT II di Stadium Pasir Gudang, Johor pada Jumaat.

Ketua Jurulatih KUFC, Syamsul Saad berkata, ketiadaan empat tonggak tersebut akan memberi tekanan dan mengganggu perancangan pasukan untuk meraih mata di gelanggang lawan.

"Selain kehilangan empat tonggak pemain, kami terpaksa melakukan perjalanan jauh 13 jam ke Johor, ini menambah lagi cabaran buat diri saya dan pasukan untuk menghadapi perlawanan ini.

"Harapan saya agar pemain yang ada mampu mengatasi kesukaran ini kerana ia antara perkara yang kerap berlaku sejak tahun lepas apabila negara berdepan penularan Covid-19," katanya yang dihubungi. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram