'PERANG' antara bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari, Lim Teong Kim dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) seolah-olah tiada berkesudahan.
Satu persatu kritikan dilontarkan Teong Kim sejak Harimau Malaya gagal dalam kempen Piala Suzuki AFF sama ada bagi skuad senior atau junior.
Terbaharu, Teong Kim dalam satu wawancara bersama portal sukan, sekali lagi melontarkan kritikan pedas kepada FAM yang didakwanya tidak mementingkan soal pembangunan pemain dan terlalu bergantung kepada khidmat pemain naturalisasi.
Malah dalam satu komen di Instagram, bekas jurulatih Bayern Munich itu memerli FAM agar menggunakan kudrat pemain import dalam skuad kebangsaan.
Terpanggil dengan kritikan Teong Kim itu, Exco FAM, Datuk Hisamudin Yahaya menepis dakwaan yang kononnya barisan exco sekadar menjadi 'pak turut' kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.
Sebaliknya, Hisamudin menjelaskan bahawa Hamidin merupakan seorang presiden yang sentiasa mengamalkan pendekatan untuk berbincang dengan exco.
Oleh itu katanya, kritikan pedas yang dilontarkan Teong Kim tidak bermaksud dia sentiasa sentiasa betul.
Kenyataan Hisamudin itu menarik minat peminat bola sepak negara untuk mengulas jawapan yang diberikan exco FAM itu terhadap kritikan FAM.
Rahaimi Abdul Jamal dalam komennya berkata, Teong Kim mungkin tidak sentiasa betul tetapi FAM dah terang-terang salah.
"Betullah tu 'tidak semestinya betul'. Ambil yang betul itu dan perbaiki kelemahan sama ada di padang atau di pejabat.
"Perbaiki mutu bola sepak negara tercinta sekurang-kurangnya di peringkat Asia. Boleh tuan?" kata Savarathanam Muuniandy.
"Dalam 10 tembak (kritik) mungkin kena 5-6. Yang membina, ambil untuk perbaiki, jangan jadi orang yang susah nak terima teguran tapi dia tegur orang boleh," kata Ali Bossran Ibrahim.
"Kalau betul, orang tak persoalkan, bererti ada yang tak betul.
"Teguran itu membina, jika tak dapat ditegur, itu satu penyakit yang perlu diubat.
"Walaupun kita ketua, tidak semestinya betul dan ada kelemahannya. Kita sendiri tidak tahu di mana silapnya dan salah kita hanya orang lain yang dapat lihat," kata Hishammuddin Abdullah.
"Kalau tak betul dan tidak berasas, samanlah Lim Teong Kim," kata Farid Abdullah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram