'Jasanya diperlekeh malah menerima hukuman penggantungan'


AHMAD Basri digantung oleh FAM daripada bola sepak kerana kritikannya. — Facebook

PENDIRIAN yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menerima dan tidak mengambil tindakan terhadap kritikan yang dikeluarkan Tengku Mahkota Johor nampaknya mendapat reaksi yang mengejutkan di media sosial.

FAM didakwa netizen tidak berani bertindak tegas kerana sebelum ini sebarang kritikan yang dilemparkan kepada FAM pasti akan menerima kesan sama ada denda ataupun digantung.

Disebabkan itu juga, laman Facebook Retro Bola Sepak memuat naik semula gambar Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil yang pernah digantung daripada sukan bola sepak kerana begitu lantang menyuarakan pendapatnya terhadap FAM.

"Nampak ramai duk (yang) tulis pasal isu kritikan membina ni, terkenang seorang tokoh yang jiwanya penuh dengan semangat membangunkan bola Kedah dan negara tercinta.

"Mungkin kerana tak pandai susun ayat mengampu dan kritikan mengipas, jasanya diperlekeh malah menerima hukuman penggantungan. Namun sedaya mana pun usaha manusia memadam jasanya, bakti dan nama beliau terus mekar dalam minda penyokong bola sepak sejati.

"Al-Fatihah sekudusnya buat tokoh ikonik ini, serta sekalian tokoh yang tak pernah putus asa berusaha membangunkan bola negara. Tuhan itu Maha Adil, pangkat dan kuasa tak kekal selamanya,' katanya.

Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Zahir Zainon Ed menganggap Allahyarham sebagai orang yang bukan sahaja lantang menegur FAM, tetapi juga memberi bakti yang besar dalam bola sepak tempatan khususnya pasukan Kedah.

Untitled

TANGKAP layar komen yang ditinggalkan seorang netizen berkaitan Allahyarham Ahmad Basri. — Facebook

"Allahyarham merupakan orang kuat dan memainkan peranan penting dalam Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dulu. Dialah individu yang mewujudkan pembangunan bola sepak (piala presiden) yang bermula di Kedah sebelum berkembang ke seluruh negara.

"Dia juga pernah beberapa kali mengkritik FAM kerana persembahan longlai skuad Harimau Malaya pada masa dulu. Salah satu komen pedas yang pernah dikeluarkan ialah pemain kita perlu tahan bola dulu barulah kita ambil jurulatih luar.

"Asas bola sepak adalah penting dan disebabkan kenyataan itu juga dia terus digantung oleh FAM. Sebenarnya ramai tokoh bola sepak dalam negara kita macam Ahmad Basri tetapi selagi sikap FAM kekalkan kroni dan selesa duduk di kerusi empuk, sampai bila-bila sistem bola sepak kita tak pergi jauh," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

netzkorner, ahmad basri, tmj, fam, kritik