BINTANG baharu Kedah Darul Aman (KDA) FC, Dennis Buschening sudah meletakkan sasaran peribadi bersama skuad Hijau Kuning bagi mengharungi Liga Malaysia musim 2022.
Selepas berkelana di dua kelab liga tempatan, Sabah FC dan UiTM FC, Dennis akhirnya memilih Kedah sebagai destinasi terbaharunya untuk terus bersaing dalam liga tempatan.
Dengan usia yang mencecah 30 tahun, pemain penyerang kelahiran Jerman itu dilihat mampu menajamkan bahagian serangan skuad Kenari yang kehilangan khidmat dua pemain penyerang, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche yang berhijrah ke Terengganu FC.
Sebagai 'pendatang baharu' ke bumi Darul Aman, pastinya penyokong Hijau Kuning meletakkan harapan yang tinggi kepada Dennis untuk setidak-tidaknya menyamai pencapaian dua bekas penyerang terdahulu.
Dalam perlawanan pramusim, Dennis meledakkan tiga gol termasuk ketika menang 2-1 ke atas PDRM FC baru-baru ini.
Ditanya tentang prestasi semasanya, pemain yang juga memiliki kerakyatan Thailand itu berkata, dia berada dalam keadaan yang sangat baik selepas berehat panjang apabila kontraknya bersama UiTM FC ditamatkan.
Malah Dennis mengakui dia teruja untuk memulakan musim baharu bersama 'keluarga baharunya'.
"Saya sentiasa mahu menang semua perlawanan, menjaringkan gol dan membantu pasukan.
"Setidak-tidaknya tiga teratas (Liga Super) dan layak ke pusingan akhir Piala AFC," katanya kepada Majoriti apabila ditanya tentang sasarannya bersama Kedah.
Selain itu, Dennis berterima kasih kepada penyokong Kedah yang sentiasa memberi sokongan kepada pasukan.
"Jika kadang-kala pasukan ini gagal, teruskan menyokong kami.
"Dalam bola sepak, kita sentiasa ada waktu baik dan buruk. Pulun Kedah Pulun!" katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram