'Kalau ada suntikan 'ni', JDT pun tak boleh lawan'


  • Podium
  • Rabu, 09 Feb 2022

KDA FC dan JDT merupakan seteru utama dalam saingan Liga Super. — The Star

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yakin Kedah Darul Aman (KDA) FC mampu menewaskan JDT jika mempunyai dana kewangan yang mencukupi.

Dalam ucapan Majlis Memperkenalkan Penaja dan Rakan Rasmi KDA FC Musim 2022, Sanusi berkata, KDA FC tidak akan menggunakan lagi duit kerajaan negeri untuk menampung perbelanjaan skuad Hijau Kuning itu.

"Kita dah umum dan jadi satu dasar tidak akan guna duit kerajaan kerana duit kerajaan sangat terhad. Tidak diletakkan dalam bajet pun untuk bola sepak dan sukan lain.

"Peminat dan penyokong mahu persembahan yang menarik dan mahu kita 'perform'.

"Orang Kedah hebat-hebat. Cuma kita tiada suntikan ni (kewangan) saja. Kalau kita ada suntikan ni (kewangan) JDT pun tak boleh lawan," katanya pada majlis yang disiarkan secara langsung di Kedah Darul Aman FC.

Sanusi juga menyuarakan keyakinan KDA FC mampu menjulang gelaran juara Liga Super pada musim ini dengan persiapan yang dijalankan.

"Saya letak satu sasaran. Kita beat (kalahkan) JDT. Kalau kita beat JDT, team (pasukan) lain tiada masalah.

"JDT satu pasukan yang kaya, hebat, tapi kita kurang juga kaya dengan pemurahnya kita," katanya.

Dalam pada itu, Sanusi berkata, KDA FC akan mengangkat semula maskot Sang Kenari, manakala Helang Merah kekal digunakan oleh KFA.

"Selain slogan Biar Jasa Jadi Kenangan, kita angkat semula slogan Pulun Kedah Pulun.

"Kita garapkan semula kekuatan yang ada di Kedah untuk kita letakkan dalam pasukan yang mantap.

"InsyaALLAH, Liga Super tahun ini milik Kedah Darul Aman," katanya.

Kali terakhir Kedah merangkul gelaran Liga Super adalah pada 2008 manakala JDT merupakan juara lapan kali berturut-turut sejak 2014 sehingga 2021. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram