BEBERAPA wilayah di Indonesia kini berdepan kemusnahan besar selepas dilanda rangkaian bencana alam termasuk banjir, tanah runtuh dan gegaran tanah yang mengorbankan ratusan nyawa serta memusnahkan ribuan kediaman.
Keadaan di Aceh, Sumatera Utara (Sumut) dan Sumatera Barat (Sumbar) dilaporkan antara paling teruk, dengan penduduk terpaksa berlindung di pusat sementara dalam keadaan serba kekurangan.
Lebih malang lagi, kebanyakkan laluan utama terputus sekali gus menyebabkan bekalan makanan terhad dan operasi mencari mangsa sukar dilakukan.
BACA LAGI: Enam tahun jadi rider p-hailing, Hamdi mampu bawa keluarga pergi umrah, langsai hutang rumah
Dalam suasana getir itu, terdapat dakwaan penduduk tempatan yang mendesak tindakan lebih pantas daripada kerajaan pusat Indonesia.
Mereka mendakwa bantuan rasmi terlalu perlahan, menyebabkan ramai mangsa terpaksa bergantung kepada sukarelawan dan bantuan luar.
Malaysia has always been at the forefront in providing assistance whenever there is a disaster in Aceh. Hopefully, this assistance will also reach our brothers and sisters in Sumut and Sumbar.
The Indonesian government has turned a blind eye to what is happening in Sumatra pic.twitter.com/GryBiY08EI
— Acheh Imperial Archives (@achehsultanate) November 30, 2025
Menurut perkongsian laman X (Twitter) Acheh Imperial Archives pada Ahad, Malaysia antara negara terawal tampil menghulurkan bantuan kemanusiaan ke wilayah terjejas, khususnya Aceh.
"Malaysia sentiasa berada di barisan hadapan setiap kali bencana melanda Aceh. Semoga bantuan ini turut sampai kepada saudara-saudara kita di Sumut dan Sumbar," tulis akaun tersebut.
Pemilik akaun X berkenaan turut mendakwa kerajaan Indonesia seolah-olah bersikap acuh tak acuh terhadap apa yang sedang berlaku di Sumatera.
"Kerajaan Indonesia seolah-olah menutup mata terhadap apa yang sedang berlaku di Sumatera," katanya.
Menjengah ke ruangan komen di laman X (Twitter), ramai rakyat Indonesia meluahkan rasa syukur dan berterima kasih terhadap bantuan Malaysia.
Seorang pengguna, @Chocov23, menyifatkan bantuan itu sebagai penyelamat, sambil menegur kerajaan Indonesia yang diterajui oleh Prabowo Subianto sebagai Presiden didakwa lambat bertindak.
"Terima kasih Malaysia. Kerajaan kami sudah meninggalkan kami," tulisnya.
Seorang lagi pengguna, @indachakim, menzahirkan rasa lega apabila bantuan luar tiba lebih awal berbanding bantuan domestik.
"Terima kasih Malaysia, terima kasih banyak-banyak. Ya ALLAH, Alhamdulillah... ada yang segera turun tangan bantu. Alhamdulillah, Alhamdulillah," katanya.
Sementara itu, @azra faza mengecam kelewatan kerajaan pusat dalam menghulurkan bantuan.
"Bila pemerintah atau pejabat di pusat mahu tahu diri, ada rasa malu? Bantulah saudara-saudara kami yang jadi mangsa akibat kerosakan alam sekitar.
"Selepas itu, pejabat yang bertanggungjawab atas dasar alam sekitar wajar letak jawatan sebagai tanda empati dan tanggungjawab," katanya.
Untuk makluman, bantuan perubatan berskala besar dari Malaysia telah tiba di Aceh melalui Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda, Blangbintang, Aceh Besar, menurut Agensi Pengurusan Bencana Hidrometeorologi Aceh pada Ahad.
Bantuan tersebut merangkumi dua juta unit ubat-ubatan dan peralatan perubatan dengan jumlah berat kira-kira dua tan.
Penghantaran menggunakan pesawat kargo khas dari Kuala Lumpur yang diselaraskan oleh Gomez Medical Services bersama pasukan kemanusiaan Blue Sky Rescue Malaysia merupakan penghantaran antarabangsa pertama yang tiba di Aceh sejak Badai Senyar melanda wilayah itu pada 22 November lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
