[VIDEO] 'Kami lapar, tak ada bantuan', lelaki mengaku terpaksa curi mi segera, air di pasar raya mini demi anak di Sibolga


  • Benua
  • Isnin, 01 Dis 2025

Seorang lelaki tampil memohon maaf kerana mengambil barangan dari sebuah pasar raya mini demi kelangsungan hidup keluarganya baru-baru ini. — Agensi

PENGAKUAN seorang penduduk yang terjejas banjir dan tanah runtuh di Sibolga dekat Sumatera Utara, Indonesia tular di media sosial selepas dia tampil memohon maaf kerana mengambil barangan dari sebuah pasar raya mini baru-baru ini.

Dalam rakaman video yang tersebar sejak Ahad, lelaki yang tidak didedahkan namanya itu mengakui dia mengambil mi segera, air mineral dan snek untuk kelangsungan hidup keluarganya yang ketika itu terputus bekalan makanan selepas kawasan tersebut dilanda banjir yang teruk.

"Kepada pemilik Alfamart, saya mohon maaf. Saya memang salah seorang yang mengambil barang di premis tersebut.

BACA LAGI: 'Kalaulah masih hidup...', ibu arwah Zulfarhan titip ucapan hari lahir ke-29 dalam kesedihan

BACA LAGI: Enam tahun jadi rider p-hailing, Hamdi mampu bawa keluarga pergi umrah, langsai hutang rumah

"Bukannya saya berniat berbuat demikian, tetapi kami terperangkap banjir, tiada makanan, tiada wang dan langsung tiada bantuan.

"Itu sahaja jalan yang ada," katanya seperti dipetik daripada Instagram @folkkonoha.

 

 

Menurutnya, barangan yang diambil hanya sekadar untuk memastikan anak-anak tidak kelaparan.

"Saya ambil tiga bungkus mi, sedikit air mineral dan snek. Itu pun terus saya masak untuk anak saya. Jika keadaan sudah pulih dan saya kembali bekerja, saya akan bayar semuanya," jelasnya lagi.

Sementara itu, pencipta kandungan, Ferry Irwandi, turut mengulas bencana besar yang melanda Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Aceh.

Menurutnya, suara penduduk Sumatera kini semakin lantang mendesak kerajaan pusat menaikkan status bencana kepada bencana nasional susulan kemusnahan besar dan jumlah mangsa yang tinggi.

Ferry berkata, isu tersebut bukan sekadar membabitkan angka korban atau kerosakan harta benda, tetapi turut mencerminkan rasa ketidakadilan rakyat luar Jawa yang berlarutan sejak sekian lama.

"Ramai orang Sumatera bertanya, ‘Sumatera ini masih sebahagian daripada Indonesia atau tidak?Kenapa seolah-olah hanya Jawa yang diberi perhatian?’ Itu antara luahan yang saya terima,” katanya menerusi siaran YouTube @ferryirwandi.

Jelasnya, jurang pembangunan antara kawasan luar Jawa dan Jawa sangat ketara, termasuk dari segi pendidikan, pengangkutan dan kemudahan awam.

Ferry menegaskan bahawa pengisytiharan bencana nasional amat penting kerana pengurusan kecemasan akan beralih sepenuhnya kepada kerajaan pusat, sekali gus mempercepatkan mobilisasi aset, bantuan dan operasi penyelamatan.

"Jika status bencana nasional diumumkan, kerajaan pusat mempunyai kuasa dan ruang tindakan yang jauh lebih besar untuk bertindak pantas," katanya.

Bagaimanapun, dia mengakui keputusan berkenaan turut memberi kesan kepada perbelanjaan negara, termasuk perubahan keutamaan projek lain serta tekanan kepada bajet semasa.

Namun, katanya, aspek tersebut tidak boleh mengatasi kepentingan menyelamatkan nyawa dan memulihkan kawasan terjejas.

"Keselamatan masyarakat jauh lebih penting daripada semua isu sampingan itu," tegasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram